April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 April – Satu lagi program kebajikan bagi membantu mahasiswa B40 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dibangunkan oleh Penerbit UTM Press.

Program yang dikenali sebagai Taja Buku@Penerbit itu diwujudkan bagi membolehkan mahasiswa dari golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan buku teks bagi tujuan pembelajaran harian di kampus.

Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr Ummul Khair Ahmad berkata Taja Buku@Penerbit merupakan inisiatif bersama antara Penerbit UTM Press, Unit Endowmen UTM dan Jabatan Timbalan Naib Canselor HEP (JTNCHEP) dalam usaha membantu pelajar dari  golongan B40 memiliki buku teks untuk kegunaan dalam pembelajaran khususnya buku terbitan Penerbit UTM Press.

“Sebanyak RM2,255.00 telah diperuntukkan sebagai modal permulaan bagi menyediakan dan mengagihkan buku-buku untuk disumbangkan kepada 40 orang pelajar yang terpilih di bawah program ini.

“Untuk hari ini, seramai empat orang pelajar telah dipilih sebagai mewakili kumpulan penerima fasa permulaan program Taja Buku@Penerbit kepada umum,” katanya yang ditemui selepas majlis penyerahan bantuan buku teks terbitan Penerbit UTM yang berlangsung secara ringkas di premis Kedai Buku Universiti.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin.    

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Shamsul mengucapkan tahniah dan syabas kepada Penerbit UTM Press, Unit Endowmen UTM, Jabatan Timbalan Naib Canselor HEP (JTNCHEP) dan semua yang membantu menjayakan program ini.

Beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa depan dan lebih ramai lagi pelajar golongan yang disasarkan dapat dibantu. TNC (HEP) juga menyeru agar lebih ramai lagi warga UTM dan orang ramai tampil kedepan sama-sama menyumbang dalam tabung TajaBuku@Penerbit.

Turut hadir Pengerusi Bahagian Pemajuan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd. Zaki Kamsah, Pengarah Unit Endowmen, Prof. Madya Dr. Yusuf Boon dan pegawai kanan universiti yang lain.

Prof. Shamsul Sahibuddin (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan buku teks terbitan Penerbit UTM kepada salah seorang mahasiswa yang terpilih sambil diperhatikan oleh Pengarah Penerbit UTM Press, Prof. Madya Dr Ummul Khair Ahmad (paling kanan) di Kedai Buku Universiti, kampus Johor Bahru.

Explore More