April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 April – Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja (MEKAR) negeri Johor yang dibangunkan secara kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mula diguna pakai secara rasminya di sekolah-sekolah seluruh negeri Johor.

Majlis ‘Kick Start’ program MEKAR ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor,  Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Hasni Mohammad di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kampus Johor Bahru tengah hari tadi.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata peluang berkolaborasi yang diberikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor kepada UTM melalui Pusat Kaunseling Universiti menunjukkan pengiktirafan tinggi yang diberikan pasukan keselamatan itu terhadap kepakaran yang ada dalam kalangan pegawai UTM.

“Pembinaan modul ini telah merintis satu bentuk hubungan baik di antara pihak UTM dan IPK Johor serta khidmat komuniti yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara khususnya negeri Johor.

Adalah menjadi harapan semua supaya MEKAR Johor menjadi salah satu strategi pencegahan jenayah yang mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang aman dan selamat,” katanya lagi.

Turut menghadiri majlis adalah Ketua Polis Johor, Yang Dihormati Komisioner Polis Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay dan juga Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Johor, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Alzafny Ahmad yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur.

Prof. Fauzi berkata permulaan kepada pembangunan modul MEKAR ini adalah pertemuan dengan Ketua Polis Johor pada 7 Julai 2020 oleh Pusat Kaunseling UTM bagi membincangkan isu-isu jenayah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dari segi trend dan statistik yang melibatkan golongan ini di negeri Johor.

“Hasil dari pertemuan ini, kedua belah pihak telah memutuskan untuk bekerjasama dalam pembangunan Modul Kesedaran ini demi memastikan generasi muda terutamanya di negeri Johor mendapat kesedaran awal seterusnya mencegah mereka dari terlibat dalam sebarang bentuk jenayah,” katanya lagi.

Modul MEKAR ini telah dilancarkan oleh Ketua Polis Johor, YDH Dato’ Ayob Khan pada 2 November 2020 dan telah menjalani beberapa fasa iaitu Fasa 1- Pra Bengkel, Fasa 2 – Bahan dan Penulisan Modul dan Fasa terakhir iaitu permurnian modul dan Training of Trainers (TOT).

Majlis ‘Kick Start’ Program Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) PDRM Johor di Dewan Banquet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Dari kiri Ketua Polis Johor, YDH Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, YAB Menteri Besar Johor, YB Datuk Hj Hasni Mohammad dan Naib Canselor UTM, Prof. Ts Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Explore More