JOHOR BAHRU, 18 Mac – Sesi Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2020/2021 telah mencatat sejarah unik di mana buat pertama kalinya sistem pengundian dalam talian telah digunakan sepenuhnya bagi menggantikan kaedah pengudian konvensional.
Sistem e-Lection yang dibangunkan oleh Jabatan Perkhidmatan Digital (UTM Digital) telah digunakan secara menyeluruh oleh mahasiswa dalam memilih perwakilan mereka buat kali pertama semenjak 1972 dan juga bersempena dengan pandemik COVID-19 di mana tidak semua pelajar berada dalam kampus.
Pengarah Jawatankuasa Pilihanraya Kampus (CEC) sesi 2020/2021 UTM, Jekan a/l Asokumaran berkata beberapa kesulitan teknikal telah berlaku sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Kampus dan berjaya diselesaikan oleh UTM Digital serta pihak lain yang bertanggungjawab.
“Perlaksanaan pengundian secara digital ini dilakukan seiring dengan matlamat negara untuk mencapai pendidikan berasaskan teknologi dan UTM menyambut baik usaha ini melalui perlaksanaan pengudian dengan kaedah baru ini.
“Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran disebabkan oleh wabak Covid-19, Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi ini berjaya dilaksanakan dengan lancar. Selain mencipta revolusi baru dalam amalan demokrasi, pengundian dalam talian ini juga boleh dijadikan penanda aras baru dalam usaha memartabatkan teknologi berasaskan kemanusiaan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai keputusan PRK ini, Jekan berkata PRK kali ini menyaksikan jumlah kerusi yang dipertandingkan di kampus Johor Bahru bagi Kerusi Umum dan Kerusi Fakulti/Sekolah kekal seperti tahun sebelumnya iaitu Tujuh Kerusi Umum dan 21 Kerusi Fakulti.
“Kampus Kuala Lumpur juga mempertandingkan jumlah kerusi yang sama sepertimana sebelumnya dengan Dua Kerusi Umum dan Enam Kerusi Fakulti. Bagi Kerusi Umum kampus Johor Bahru, tujuh orang calon diumumkan sebagai pemenang dari keseluruhan 11 calon yang bertanding untuk Kerusi Umum.
“Calon yang telah memenangi kerusi umum terdiri daripada Sekolah Kejuruteraan Awam (Dua orang), Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (seorang), Sekolah Kejuruteraan Elektrik (dua orang), Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan sebanyak (seorang calon) dan Fakulti Sains (seorang calon),” katanya lagi.
Bagi calon yang bertanding di Kerusi Fakulti pula seramai 21 calon seperti yang dinyatakan dalam jumlah kerusi bertanding di atas telah diisytiharkan memenangi kerusi masing-masing.
“Selain dari kemenangan bertanding, terdapat juga kerusi yang dimenangi tanpa bertanding seperti di Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan (SKBSK), Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) dan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) di mana setiap satunya terdapat dua calon yang memperolehi kemenangan percuma (tanpa bertanding).
“Dalam pada itu, kedua-dua buah Kerusi Umum yang dipertandingkan di kampus Kuala Lumpur merekodkan kemenangan tanpa bertanding dan jumlah keseluruhan calon fakulti/sekolah adalah sebanyak lima calon,” katanya lagi.
Kerusi fakulti/sekolah yang menang tanpa bertanding bagi kampus Kuala Lumpur adalah daripada fakulti Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) sebanyak satu kerusi Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) sebanyak satu kerusi dan tiada pertandingan untuk Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS).
Peratusan Keluar Mengundi bagi yang mengundi untuk kampus UTM Johor Bahru dan kampus UTM Kuala Lumpur dalam PRK bagi sesi 2020/2021 adalah sebanyak 34.98 peratus dengan jumlah pengundi sebanyak 7691 orang.
“Setelah tamat Pengumuman Akhir Pilihan Raya Kampus, proses bantahan keputusan pun bermula di mana pelajar mempunyai tempoh yang diperuntukkan untuk membuat bantahan terhadap keputusan pilihanraya ini sekiranya terdapat sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan yang diumumkan.
“Tempoh bagi bantahan keputusan PRK ini adalah dari pukul dua petang 18 Mac 2021 sehingga dua petang 19 Mac 2021 dan jangka masa tempoh bantahan adalah selama 12 jam selepas pengumuman keputusan rasmi PRK,” katanya lagi.
Buat julung kalinya, sesi pengumuman keputusan bagi PRK UTM 2020/2021 dilaksanakan sepenuhnya dalam talian secara lintas langsung melalui Facebook Campus Electon Committee yang diselia oleh CEC Sesi 2020/2021 di Dewan Konvensyen, Fakulti Alam Bina dan Ukur.
Sesi ini telah dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib, Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Tuan Haji Dahari Derani, para Pegawai Perujuk PRK , pemerhati dan ahli-ahli CEC.