Kuala Lumpur, 20 Februari 2021 – Institut Siswazah Tersedia Kehidupan atau UTM iLeaGue sekali lagi telah bergerak aktif dalam menganjurkan program pembelajaran servis yang berfokuskan teknologi Simenfero.
Program pembelajaran servis ini lazimnya dilaksanakan secara bersemuka bersama masyarakat sekitar. Namun apa yang menjadikan sesi kali ini lebih unik dan istimewa adalah ianya dilakukan secara dalam talian menggunakan konsep webinar. Ini adalah disebabkan krisis Pandemik Covid-19 yang mana telah membataskan pergerakan pelajar dan masyarakat umum.
Program webinar bertajuk Pep Talk : The Art of Ferrocement tersebut diketuai oleh Prof. Madya Zainudin bin Abdul Razak dan Ts Mohd Hazri bin Ishak dan turut dibantu oleh 15 orang mahasiswa dari kursus UKQA2032 dan UKQF2022 Simenfero, sesi semester 2, 20/21.
Pada setiap semester, mahasiswa akan diberi peluang untuk melaksanakan program bersama komuniti. Namun pada kali ini, pilihan komuniti sasaran ialah peserta dalam talian menggunakan platfom Facebook dan aplikasi Streamyard.
Oleh yang demikian, program ini dapat memberi pengalaman yang mendalam kepada mahasiswa dalam melaksanakan program dalam talian, dan dalam masa yang sama mahasiswa dapat belajar teknologi asas berkaitan simenfero.
Webinar ini dilaksanakan secara dalam talian dan disiarkan secara real-time ke Facebook khas iaitu Kursus Pembelajaran Servis Simenferopada hari Sabtu, 20 Februari 2021 jam 3.00 petang sehingga 4.00 petang.
Rakaman program masih boleh ditonton melalui Facebook yang sama. Sekitar 50 orang peserta telah menyertai program webinar ini dan masing-masing telah membawa pulang sekeping sijil penyertaan dalam bentuk digital.
Penganjur berharap agar sesi webinar ini memberi banyak manfaat terhadap mahasiswa serta masyarakat sekitar.