April 19, 2024

Search
Close this search box.

Tahun 2020 merupakan penutup kepada perancangan Pelan Global Universiti PGU yang telah dimulakan oleh Universiti Teknologi Malaysia UTM bermula daripada 2011. Sebanyak tiga fasa PGU telah dirangka merangkumi Fasa I (2011-2014), Fasa II (2015-2017) dan Fasa III (2018-2020).

Lanjutan daripada kejayaan dan pencapaian cemerlang universiti melalui pelaksanaan PGU, UTM telah meneruskan inisiatif perancangan strategi melalui formulasi UTM enVision 2025. Pelan enVision 2025 menyediakan kerangka kerja perancangan dan pengurusan UTM bermula tahun 2021 sehingga 2025.

Bagi mendapatkan input daripada pemegang taruh secara berterusan, Fakulti Sains UTM telah menyertai program townhall enVision 2025 yang dianjurkan oleh Pejabat Pengurusan Strategi UTM. Inisiatif ini dapat memastikan laluan dan masa depan Fakulti sentiasa berada pada landasan yang tepat berdasarkan maklumbalas semua pihak.

Tentunya townhall envision 2025 juga dapat menjayakan aspirasi Fakulti bagi terus mencapai kecemerlangan sehingga menjangkau peringkat global. Berikutan pelaksanaan norma baharu, program tersebut telah dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

Antara kaedah pelaksanaan program adalah penglibatan melalui reruai Fakulti yang dibangunkan secara maya di portal program dan penggunaan platform webex dalam talian bagi sesi aktiviti interaktif.

Melalui pelaksanaan program townhall ini, Fakulti Sains telah membentangkan pencapaian utama dan kemajuan semasa Fakulti sepanjang pelaksanaan PGU. Antara kejayaannya adalah merangkumi fokus utama melibatkan bidang kecemerlangan akademik dan transformasi pengalaman kampus, bidang kecemerlangan penyelidikan dan hubungan industri serta komuniti dan bidang kesohoran global.

Seterusnya, input perancangan Fakulti Sains untuk enVision 2025 diperolehi melalui proses soal-selidik dan temubual. Antara dapatannya adalah merangkumi pemerkasaan fokus tertentu seperti pembangunan bakat, pendidikan fleksibel, penyediaan pelajar kalis masa hadapan, penyelidikan merentas bidang yang berimpak, pemberdayaan komuniti dan pengukuhan industri. Agenda ini adalah selaras dengan sumbangan Fakulti dalam memberikan penyelesaian untuk kesejahteraan dan kemakmuran sejagat sepertimana visi dan misi UTM.

Malah, cabaran pandemik COVID-19 turut mengubah landskap pengajian tinggi negara yang memberikan kesan kepada tadbir urus dan perancangan Universiti dan Fakulti. Misalnya, impak pandemik kepada pelajar universiti juga memerlukan Universiti menyediakan strategi untuk adaptasi pembelajaran, pengajaran dan pengalaman kampus yang baharu. Justeru, semua perihal semasa perlu diambil kira dalam rangka kerja dan tindakan enVision 2025.

Tahun 2021 merupakan tahun pertama dan fasa permulaan bagi pelaksanaan pelan UTM enVision 2025. Kejayaan perancangannya tetap memerlukan usaha kolektif dan bersinergi daripada semua warga Fakulti bagi memacu kecemerlangan secara berterusan.

Penulis:

PM Dr. Normah Maan/Dr. Mohd Bakri Bakar

Explore More