April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 31 Mac – Dasar pengharmonian antara ilmu sains dan agama Islam seharusnya mula diterapkan secara berperingkat pada peringkat awal seseorang itu memulakan proses pendidikannya.

Proses penerapan ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana sebahagian dari pelajar ini akan menyambung pengajian di peringkat tinggi dan seharusnya menjadi pemimpin yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata contoh jelas elemen pengharmonian ini adalah kitab suci Al-Quran yang diturunkan untuk rujukan umat manusia bukan sahaja mengandungi aspek keagamaan Islam malah juga elemen sains.

“Dalam Al-Quran ada disebutkan berkenaan dengan kejadian hujan yang begitu mengkagumkan pengkaji barat sedangkan proses kejadian hujan ini telah tertulis dengan jelasnya sejak 1400 tahun dahulu iaitu dalam surah Ar-Ruum ayat 48.

Sebagai contoh, dalam kitab suci ini juga terdapat ayat yang menceritakan tentang besi. Secara khususnya, ayat 25 surah Al-Hadid tersebut secara jelas mengungkapkan bahwa besi memiliki kekuatan dan sangat bermanfaat bagi manusia,” katanya lagi.

Prof. Fauzi berkata sedemikian dalam sesi Muzakarah Pakar : Analisis Terhadap Pengharmonian Sains dan Islam di Malaysia di stesen radio milik Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM FM pagi tadi.

Menurut Prof. Fauzi lagi, teknologi pengolahan besi telah dikuasai manusia sejak zaman Nabi Daud A.S dan terungkap dalam surat Al- Anbiyaa’ ayat 80 di mana Nabi Daud A.S telah diajar membuat baju besi untuk tujuan keselamatan diri dalam peperangan dan atas sebab itu hendaklah bersyukur kepada Allah SWT.

“Selain daripada ayat-ayat Quran yang menceritakan tentang elemen-elemen sains ini, institusi pengajian kita juga jarang mengetengahkan sumbangan dan nama tokoh-tokoh Islam yang banyak menyumbang dalam bidang sains, teknologi dan matematik dalam sejarah ketamadunan dunia.

“Tenaga pengajar di institusi pendidikan ini yang majoritinya beragama Islam seakan tidak mahu mengetengahkan tokoh-tokoh Islam ini dalam subjek yang mereka ajarkan dan lebih gemar mempopularkan nama ilmuan barat,” katanya lagi.

Sejarah dunia ada merekodkan nama-nama saintis terkenal Islam dan juga sumbangan masing-masing seperti  Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina (Ibn Sina, Ibnu Sina),Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi (Al-Khawarizmi), Al-Farabi, Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi (Al-Razi), Abu Hamid Al-Ghazali (Al-Ghazali), Al-Jazari, Abu Raihan Al-Biruni (Al-Biruni), Abu Ali Hasan Ibn Al-Haitham (Al-Haytham), Al-Kindi (Alkindus), Jābir ibn Hayyān (Geber) dan juga Ibn Khaldun.

Mengulas lanjut mengenai usaha untuk mengharmonikan Islam dan Sains ini, Prof. Fauzi berkata bahawa usaha ini perlu dilakukan dengan serius kerana banyak ilmu di dalam Quran boleh dimanfaatkan untuk kehidupan manusia.

“Usaha mengharmonikan antara sains dan islam ini dapat dilakukan dengan jayanya melalui proses penginstitusian yang perlu ada beberapa kriteria iaitu penyelarasan polisi di semua peringkat institusi pendidikan iaitu pra-sekolah, sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi yang memberikan penekanan terhadap pengharmonian dua elemen ini.

Selain itu juga, polisi kepimpinan melalui tauladan juga amat penting dimana seseorang ketua itu harus menunjukkan contoh baik mengenai usaha ini dan perlu jadi orang pertama yang berusaha keras untuk menjayakan dasar ini.

“Seharusnya tidak ada tolak ansur dalam pelaksanaan dasar pengharmonian ini di mana setiap guru, pengajar dan pensyarah diberikan pemberdayaan (empowerment) dalam hal ini,” akhiri beliau.

Selain Naib Canselor UTM, sesi diskusi intelektual ini turut juga disertai oleh barisan panel yang terdiri dari Penasihat Kehormat Centre for Islamnisation (CENTRIS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dan juga Penyandang Kursi Pemikiran Islam Al-Ghazali, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.

Sesi ini telah dikendalikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Azizan Baharuddin

Explore More