April 25, 2024

Search
Close this search box.

Fakulti Sains Adaptasi Norma Baharu Bagi Kelangsungan Perkhidmatan Universiti

Cabaran pandemik sepanjang tahun 2020 ada di luar jangkaan. Bagi universiti, proses adaptasi perlu dilaksanakan dengan bersegera bagi memastikan proses pengurusan dan operasi perkhidmatan dapat dijayakan seperti perancangan.

Dalam hal ini, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia UTM telah merintis pelbagai pendekatan kreatif bersama strategi yang inovatif bagi meneruskan agenda kecemerlangan Fakulti mengikut norma baharu.

Pelbagai platform dalam talian berjaya dimanfaatkan bagi meneruskan proses komunikasi bersama staf dan pelajar yang menggantikan kaedah pertemuan bersemuka. Penerusan komunikasi melalui kaedah perhubungan sebegini adalah penting bagi memastikan penyaluran maklumat terus berlaku terutamanya ketika mendepani cabaran pandemik di peringkat awal.

Tentunya Fakulti Sains turut tidak ketinggalan dalam memberikan sumbangan perkhidmatan berkenaan penjagaan kesihatan menerusi projek penyediaan pensanitasi tangan. Projek yang dilaksanakan secara bersinergi bersama Pejabat Pendaftar dan Bahagian Endowmen ini telah berjaya memanfaatkan kumpulan barisan hadapan dan pelajar UTM.

Seterusnya, platform dalam talian juga telah dimanfaatkan bagi penerusan hubungan kerjasama dengan rakan organisasi luar. Misalnya, program minggu penyelidikan Fakulti telah berjaya diteruskan di mana panel dan pakar rujuk daripada industri turut dilibatkan secara maya. Selain itu, program persidangan dan seminar turut dilaksanakan sepertimana perancangan dengan kehadiran lebih ramai peserta berikutan pelaksanaan aktiviti secara dalam talian. Begitu juga, bengkel bersama Lembaga Penasihat program akademik juga berjaya dianjurkan bagi mendapatkan input bagi peningkatan kualiti akademik Fakulti.

Inisiatif pengantarabangsaan Fakulti juga telah dilaksanakan mengikut norma baharu melalui sokongan daripada rakan institusi global. Menariknya, majlis tandatangan Memorandum Perjanjian Fakulti telah dilaksanakan buat pertama kalinya secara dalam talian. Selain itu, Fakulti Sains turut proaktif menganjurkan pelbagai program webinar antarabangsa dengan kerjasama Bahagian Antarabangsa UTM melalui ‘Online Global Classroom’ dengan rekod sebanyak 21 siri merangkumi pelbagai bidang strategik yang menjadi teras kerjasama utama.

Fakulti Sains turut menyedari bahawa agenda perkhidmatan kepada komuniti perlu diteruskan dengan pelbagai pendekatan yang baharu. Malah, cabaran yang dihadapi turut menatijahkan peluang baharu untuk diteroka bersama. Misalnya melalui program STEM Johor, program pendidikan Fakulti bersama guru dan pelajar sekolah telah dirintis buat pertama kalinya secara dalam talian.

Fakulti Sains juga telah berjaya melaksanakan aktiviti seminar umum pendidikan secara dalam talian bagi memberikan manfaat kepada komuniti yang lebih meluas. Selain itu, pelbagai medium telah dimanfaatkan oleh Fakulti bagi mendidik masyarakat berkenaan sumbangan sains dalam mendepani cabaran pandemik.

Kesemua kejayaan dan dapatan impak daripada pelaksanaan program tersebut adalah hasil sinergi seluruh warga Fakulti Sains dalam mendepani cabaran baharu secara bersama. Komitmen tinggi yang telah diberikan akan diteruskan bagi meneruskan agenda peningkatan kecemerlangan Fakulti secara berterusan bermula tahun baharu 2021.

Penulis:

Dr. Mohd Bakri Bakar/Pn. Hamidah Mat Arif/En. Noranizam Demin

Explore More