April 19, 2024

Search
Close this search box.

Oleh : Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali dan Norhairunnisa Md Nasir

Pada 17 Februari 2021, Unit UTMAlumni dengan kerjasama UTM International bersama-sama UTM CCIN telah berjaya mengadakan satu program Pre-Engagment pertemuan secara dalam talian bersama Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Indonesia.

Program ini telah berjaya menghimpunkan hampir 80 alumni hadir secara dalam talian daripada pelbagai daerah di Indonesia. Objektif program ini adalah bertujuan untuk menjalinkan kembali hubungan bersama alumni UTM Indonesia bersama-sama alma mater mereka iaitu UTM dan merancang pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang melibatkan alumni bersama universiti dan masyarakat.

Menerusi pertemuan ini, Unit UTMAlumni telah membuat perkongsian pencapaian Universiti Teknologi Malaysia serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan bersama alumni UTM.

Dalam program ini, Alumni UTM Indonesia telah diberikan maklumat berkaitan dengan perkembangan dan pencapaian UTM yang terkini, sesi perbincangan dua hala strategi-strategi pembangunan alumni, pelajar dan universiti di samping perancangan kolaborasi bersama alumni Indonesia daripada aspek kepakaran, penyelidikan, pembangunan komuniti dan sebagainya.

Program ini turut disertai oleh Konsortium AIM4STAR di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi menarik penyertaan Alumni Indonesia untuk bersama-sama bergerak dan menyokong perlaksanaan Konsortitum AIM4STAR.

Antara perancangan yang telah dibincangkan di dalam program ini adalah seperti menubuhkan Global Chapter Indonesia, konsortium penyelidikan antara UTM dan Universiti di Indonesia, duta alumni antarabangsa Indonesia, program pembangunan alumni antarabangsa, dan penubuhan tabung biasiswa antarabangsa.

Program ini merupakan salah satu inisiatif Unit UTMAlumni bersama-sama UTM International dalam menyerlahkan usaha jaringan antarabangsa dan sentiasa memastikan bahawa pandemik COVID-19 ini tidak mengekang semua perancangan program yang boleh dijalankan melalui norma baharu dalam menyerlahkan pengantarabangsaan universiti.

Diharapkan program-program seperti ini dapat diteruskan lagi dan diperluaskan bersama-sama alumni-alumni UTM antarabangsa di negara-negara lain. Alumni merupakan aset kepada universiti dan sumbangan serta penglibatan mereka berupaya menaikkan reputasi sesebuah universiti di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

Pertemuan ini juga diharap dapat mengembalikan semangat untuk mengukuhkan lagi jalinan hubungan alumni bersama UTM disamping alumni turut berkongsi pandangan serta harapan mereka untuk UTM.

Program ini juga dilihat sebagai permulaan alumni mewujudkan kerjasama penyelidikan antara dua negara memandangkan kebanyakkan alumni adalah terdiri daripada pensyarah dan juga penyelidik di universiti masing-masing. Justeru itu, daripada Pre-engagement ini, UTMAlumni akan terus berhubung dengan alumni sehingga dapat membentuk satu kerjasama antara dua negara akan datang.

UTMAlumni mengucapkan terima kasih kepada Alumni Indonesia kerana sudi meluangkan masa untuk hadir secara talian di program ini. Terima kasih juga di ucapkan kepada UTM International dan Pejabat UTM CCIN kerana sudi berkongsi maklumat kepada alumni Indonesia.

Unit UTMAlumni akan meneruskan program ini untuk bersama-sama menjalinkan kembali hubungan alumni antarabangsa di masa akan datang. Semoga program ini akan terus menyemat semangat kekitaan dan hubungan alumni bersama Universiti Teknologi Malaysia.

Poster Program
Wajah-wajah ceria Alumni UTM Indonesia

Explore More