April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Feb– Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan diberikan lebih kelonggaran dalam membangunkan keupayaan diri dan kemahiran kendiri bagi menjadi graduan holistik yang berkeupayaan menghadapi masa depan yang kian mencabar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dalam sesi wawancara dengan Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) di pejabatnya berkata mahasiswa kini dilihat terlampau terikat dengan program pembangunan yang direncanakan oleh pihak universiti.

 “Tidak ada masalah dengan program pembangunan ini tetapi ianya dilihat sudah semakin kompleks dan ditambahbaik bagi membolehkan mahasiswa membangunkan potensi diri kearah kecenderungan yang mereka pilih.

Contohnya kini kita sering menggalakkan mereka untuk menjadi usahawan dengan menyusun pelbagai program keusahawanan tetapi kita lupa bahawa tidak semua mahasiswa itu berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya lagi.

Prof. Shamsul juga telah menyatakan keterujaannya terhadap UTM yang telah dianugerahkan dengan anugerah ‘JobStreet Preferred University 2019’ oleh portal pencari kerja antarabangsa terkenal, JobStreet.com.

“Saya amat berbangga dengan penganugerahan ini yang membuktikan bahawa graduan UTM menjadi pilihan utama majikan dalam menawarkan peluang pekerjaan.

Ini sekaligus membuktikan bahawa graduan kita telahpun menjadi lepasan universiti berkualiti dari segi pencapaian akademik dan juga kemahiran kendiri sepertimana yang dikehendaki oleh pihak majikan,” katanya lagi.

Prof. Shamsul turut berpendapat masih terdapat ruang untuk peningkatan kualiti bakal-bakal graduan UTM pada masa hadapan.

“Peluang pekerjaan konvensional akan berkurangan akibat pandemik COVID-19 disebabkan pasaran yang terhad dan majikan tidak mampu untuk menggaji pekerja yang ramai.

Atas sebab ini, kita seharusnya memberikan pendedahan yang secukupnya kepada mereka terhadap penciptaan peluang pekerjaan untuk diri sendiri dan orang lain supaya kesenangan dapat dikongsi bersama,”katanya lagi.

Menyentuh tentang aspek kebajikan mahasiswa, Prof. Shamsul berkata pelajar yang berasal dari keluarga B40 akan menjadi tumpuan utama beliau.

“Di kampus Kuala Lumpur contohnya, ketika saya berkhidmat sebagai Pro-Naib Canselor di sana, UTM telah menerima sumbangan khas berjumlah RM6 juta dari Baitulmal Wilayah Persekutuan bagi membantu mahasiswa B40.

Ini membuktikan bahawa universiti perlu memainkan peranan penting dalam berusaha mencari dana bantuan bagi membolehkan mahasiswanya dari golongan B40 menarik nafas lega dan lebih fokus sepanjang pengajian,” katanya lagi.

Menggalas jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (HEP) sejak dilantik pada 15 Januari 2021 yang lalu, Prof. Shamsul bertekad untuk melakukan yang terbaik demi amanah portfolio yang disandangnya.

“Telah menjadi amalan biasa bagi ketua organisasi yang baharu dilantik akan melakukan penstrukturan semula organisasi yang dipimpinnya supaya menjadi lebih dinamik di bawah pentadbirannya.

Jika kita ingin melakukan penstrukturan semula maka ia perlu dilakukan secara sistematik dan terancang supaya fungsinya tidak terusik.

Langkah ini bagi membolehkan hanya bahagian yang perlu dipertingkatkan sahaja akan distrukturkan semula tanpa membabitkan keseluruhan jabatan TNCHEP itu sendiri,” katanya lagi, mengakhiri temubual tersebut.

Explore More