Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 17 Feb – Malaysia kini berada di tangga yang terakhir bersama dengan negara Myanmar dalam aspek kesaksamaan ‘gender’ dalam jadual pengukuran kesaksamaan gender dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Perkembangan ini tidak bagitu menggembirakan memandangkan Malaysia adalah antara negara yang menikmati kemajuan ekonomi dan sosial di samping Singapura dan Indonesia di rantau Asia Tenggara ini.

Isu kesaksamaan gender ini telah diperkatakan dengan hangatnya ketika sesi perbincangan dalam talian Chit Chat Kelestarian 2.0 anjuran Pusat Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang disertai oleh Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Dr Hafsah Hashim, Pengarah Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Prof Madya Dr Ruslinda A. Rahim dan juga penerima Anugerah L’oreal UNESCO for Women in Science 2020 dan juga Pensyarah Kanan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Dr Ts Rozzeta Dollah.

“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku terutama sekali dengan data kemasukan ke universiti tempatan menunjukkan rekod menyambung pengajian bagi pelajar wanita mencatatkan sehingga 60 peratus kemasukan berbanding lelaki yang hanya 40 peratus.

Dari 60 peratus ini, sebanyak 39 peratus mahasiswa wanita mengambil jurusan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Data ini jelas menunjukkan ramai kaum wanita yang berkaliber sesuai untuk ditonjolkan sebagai pemimpin,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penyertaan sebagai tenaga kerja di Malaysia mencatatkan sebanyak 80 peratus jawatan penting masih lagi dipegang oleh lelaki.

“Sektor perundangan mencatatkan hanya 23.2 peratus wanita manakala 76.6 jawatan dalam sector ini masih dipegang oleh lelaki.  Bagi sector professional dan teknikal pula, 44 peratus dipegang oleh wanita manakala 55 peratus adalah lelaki.

“Bagi sektor politik dan pentadbiran pula, dari 222 orang ahli parlimen hanya 14.9 peratus adalah wanita.  Saya harap lebih banyak wanita akan menyertai sektor ini di masa hadapan,” katanya lagi.

Bagi Dr Ruslinda pula, kaum wanita perlu menunjukkan kemampuan masing-masing sebelum dilantik untuk menjawat jawatan penting dalam sektor swasta atau awam.

“Kita semua perlu untuk menggembling tenaga untuk meningkatkan penyertaan kaum wanita dalam dunia pekerjaan dimana kadar penyertaan adalah sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Sebanyak 59 peratus wanita Malaysia terlibat dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekaligus menunjukkan negara ini punya himpunan bakat yang banyak di kalangan kaum hawa.  Tidak ada sebab mengapa mereka ini tidak boleh diketengahkan”katanya lagi.

Sekiranya kedua-dua panel ini bercakap mengenai kewajaran kerajaan untuk menggubal polisi bagi membolehkan lebih ramai wanita terlibat dalam urusan pentadbiran dan pengurusan, Dr Rozzeta pula membincangkan mengenai peningkatan kualiti dan sumbangan diri seseorang wanita itu.

Panel dari UTM ini dalam sesi diskusinya memberikan penekanan kepada aspek untuk meningkatkan keupayaan diri seseorang wanita itu sebelum diangkat menjadi pemimpin bagi sesebuah organisasi.

“Selain keupayaan diri, soalan yang seharusnya ditanya apakah sumbangan yang dapat diberikan kepada masyarakat dan negara.

“Kita di UTM sudah punya kepakaran tetapi soalnya bagaimanakah kepakaran itu dapat ditransformasikan kepada sesuatu yang dapat memberikan faedah kepada komuniti awam tempatan,” katanya lagi.

Dr Rozzeta yang pernah melanjutkan pengajian pasca-kedoktorannya di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat berkata falsafah yang sama digunakan di institut itu.

“Saya mendapat banyak pendedahan mengenai keusahawanan teknologi ketika berada di MIT.

Keusahawanan tekno (technopreneur) ini berkait rapat dengan bagaimanakah kita menggunakan kepakaran atau hasil penyelidikan kita bagi dikomersilkan dan seterusnya dikongsi untuk faedah sejagat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai sumbangan kepada komuniti, Dr Rozzeta berkata kemahiran yang dapat disumbangkan terbahagi kepada dua iaitu kemahiran kendiri (soft skills) dan juga kemahiran empirikal (hard skills).

“Kemahiran empirikal adalah seperti kepakaran, teknologi serta ilmu pengetahuan yang kita perolehi melalui pengajian serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) manakala kemahiran kendiri (soft skills) adalah kemahiran insaniah yang ada pada setiap orang.

“Paling kritikal adalah kemahiran kendiri yang perlu ada untuk kita menerangkan kepada orang tentang apa yang kita mampu tawarkan dan apa faedah berkenaan yang bakal kita tawarkan,”katanya.

Explore More