April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 7 Jan. — Sejumlah RM51,765,747.17 geran penyelidikan telah diperolehi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sepanjang tahun 2020 bagi menjayakan agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) universiti.

Jumlah itu mewakili sejumlah wang yang diberikan untuk menjayakan sebanyak 717 projek penyelidikan dengan pecahan sebanyak 527 dari geran universiti penyelidikan, 64 geran nasional, 76 dari swasta/industri dan 50 pembiayaan penyelidikan yang diberikan oleh pihak antarabangsa.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyeldikan (RMC), Prof. Madya Ts. Dr Shukor Abd. Razak berkata peruntukan sebanyak kira-kira RM51 juta kepada penyelidik UTM membuktikan universiti ini dan kepakaran penyelidiknya terus mendapat kepercayaan dari pelbagai pihak walaupun negara dan dunia kini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menurut beliau, geran tersebut telah diberikan kepada tujuh buah fakulti termasuk Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) yang memperolehi geran berjumlah RM56,000.00.

“Bagi tahun 2020, Fakulti Kejuruteraan menerima jumlah geran penyelidikan terbesar sebanyak RM29,227,186.18 diikuti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) sebanyak RM6,588,394.67.

“Di tempat ketiga pula adalah Fakulti Sains dengan jumlah geran penyelidikan sebanyak RM5,480,603.47, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan sebanyak RM3,646,470.65 di tempat keempat manakala di tempat kelima adalah Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) dengan geran berjumlah RM2,582,697.20,” katanya lagi.

Dr Shukor juga berkata sebanyak RM2,425,905.00 geran penyelidikan telah diperuntukkan kepada Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) diikuti oleh Fakulti Teknologi & Informatik Razak (FTIR) sebanyak RM1,758,490.00.

“Keutamaan pemberian geran penyelidikan akan menitikberatkan impak yang diberikan oleh hasil penyelidikan tersebut kepada empat elemen iaitu kepada kerajaan, industri, komuniti dan akademia.

“Ini membawa maksud bahawa hasil akhir penyelidikan itu mestilah memberikan faedah yang positif kepada dasar dan tadbir urus kerajaan disamping meningkatkan prestasi produktiviti industri dan juga peningkatan dalam kualiti hidup rakyat,” katanya lagi.

Menurut Dr Shukor, pemantauan kemajuan projek penyelidikan dilakukan oleh Unit Pemantauan RMC bagi kesemua projek yang diterima oleh penyelidik UTM bagi memastikan kualiti dan output penyelidikan memenuhi hasrat penaja.

“Untuk makluman, RMC berfungsi untuk menguruskan projek penyelidikan dari peringkat cadangan hinggalah ke penghasilan ouput seperti penerbitan dan prototaip. Prototaip ini kemudiannya akan digilap untuk penghasilan produk komersial yang diuruskan oleh Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC) UTM.

Selain itu, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) pula akan membuat pemerhatian dari aspek impak produk penyelidikan tersebut kepada industri dan komuniti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sumber perolehan geran penyelidikan, Dr Shukor berkata bahawa kombinasi geran penyelidikan dari kerajaan dan swasta/industri pada masa ini adalah pada nisbah 80/20.

“Menyedari sumber kewangan kerajaan yang terhad telah menyebabkan UTM semakin rancak melakukan pelbagai inisiatif untuk mendapatkan lebih banyak geran dari pihak swasta/industri dan juga antarabangsa.

“Ini bagi membolehkan kita meluaskan pengalaman penyelidikan dan juga memartabatkan nama UTM di kalangan pihak industri dan juga antarabangsa,” katanya lagi.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ts. Dr Shukor Abd. Razak
Penyelidik UTM yang sentiasa cemerlang dan diiktiraf kepakaran mereka di dalam dan luar negara
Produk penyelidikan UTM diiktiraf terbaik di dalam dan luar negara

Explore More