April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Jan — Komited dengan inisiatif untuk menggabungkan transformasi pelaksanaan “Sustainable Development Goals (SDG’s)” di Institut Pengajian Tinggi (IPT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan persidangan “Regional Conference in Civil Engineering (RCEE) and Sustainable Development Goals (SDG) 2020

Pelaksanaan ini adalah berdasarkan inisiatif umum yang telah digariskan oleh United Nation (UN) bagi tahun 2030.

Persidangan selama dua hari ini dijalankan dengan sokongan dan pembiayaan AUN/SEED-Net secara dalam talian dan telah menarik penyertaan sehingga 100 orang peserta tempatan dan luar negara terutama dari kalangan negara ASEAN.

Pengarah Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS), Prof. Ir. Dr. Mohd Fadhil Md Din berkata persidangan maya seperti ini membantu pengukuhan agenda khusus sedunia mengenai dunia pada tahun 2050 (The World in 2050).

“Aspirasi ini akan dapat menjadikan penyelidikan dan pengetahuan fakta SDG’s supaya mampu dilaksanakan secara bersasar.

Tema persidangan ini adalah berteraskan “Localizing Sustainable Development Goals in Engineering with Look East Policy Partnership”, yang menyantuni keperluan segera pembudayaan penyelidikan dan akademik dalam indikator SDGs,” katanya lagi.

Menurut Prof. Fadhil lagi, objektif persidangan ini juga adalah untuk meningkatkan jaringan profesional di antara jurutera dan saintis dari pelbagai bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di seluruh Asia Tenggara.

“Persidangan ini akan menjadi pentas yang tepat dalam mewujudkan komuniti penyelidikan antarabangsa berkongsi idea yang melibatkan penyelesaian serantau melalui perkembangan teknologi dan kepakaran yang terkini bagi mencapai pembangunan yang mampan,” kata beliau.

Tambah beliau lagi, menerusi penganjuran bengkel ini juga akan menjadi aspirasi untuk menubuhkan sebuah perancangan keterlibatan agensi dan universiti di Malaysia untuk mewujudkan polisi bagi mencapai keperluan pembangunan SDGs di peringkat negara.

“Selain itu, persidangan ini juga membantu penyelidik-penyelidik muda menerbitkan artikel jurnal berindeks Scopus selain menyediakan persekitaran yang kondusif semasa pandemik,” kata beliau.

Antara peserta utama yang menyertai persidangan ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang selaku pengucap utama dengan membawakan perkongsian bertajuk “Eco-Shift Framework: Towards Sustainable Development Targets”.

Persidangan ini juga membawakan beberapa tokoh yang lain seperti Prof Emeritus Dr UEDA Tamon, Ketua Penasihat dan Pemangku Pengarah Eksekutif, AUN/SEED-Net, Japan International Cooperation Agency (JICA) dan beberapa penyampai yang terdiri daripada AUN/SEED-Net Alumni dan pihak industri Malaysia.

Bagi membangunkan pengetahuan khusus mengenai SDGs, bengkel yang dilaksanakan serentak di bawah jaringan (Malaysia Sustainability University Network, MySUN) merupakan salah satu bentuk perkongsian antara universiti yang akan membantu pemerkasaan agenda kelestarian di seluruh negara.

“Persidangan telah diakhiri menerusi sidang siar secara rakaman daripada Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ts. Fauzi Ismail yang menyentuh beberapa perutusan penting dalam menyediakan keperluan SDGs di peringkat antarabangsa,”katanya lagi.

Prof. Ir Dr Mohd Fadhil Md Din (kiri) ketika memberikan ucapan perasmian serta menjadi hos program RCCE dan SDGs 2020 anjuran Pusat Kelestarian UTM (UTMCS) bersama dan Pengarah Program, Dr Khairun Nissa Mat Said.
Rakaman program oleh staf UTMCS
Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail semasa Majlis Penutup program yang menyentuh beberapa perkara penting dalam menyediakan keperluan SDGs di peringkat antarabangsa

Explore More