April 25, 2024

Search
Close this search box.

Universiti merupakan antara institusi yang menerima impak secara terus berikutan pandemik COVID-19. Justeru, universiti perlu beradaptasi dengan norma baharu bagi memastikan prestasi dan keberhasilannya sepanjang tahun 2020 tidak terjejas.

Bagi Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pengurusan dan operasi perkhidmatan melibatkan pelajar telah disesuaikan bagi memastikan sasaran prestasi mengikut perancangan tahunan tidak terjejas. Paling utamanya, Fakulti Sains telah memberikan fokus sepenuhnya kepada keberkesanan penyampaian kursus berikutan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) perlu dilakukan secara dalam talian.

Sepanjang tahun 2020, pelbagai inisiatif pengukuhan PdP telah disusun termasuk dengan mengadakan latihan PdP secara berterusan kepada para pensyarah. Misalnya menerusi penganjuran minggu ‘Future Ready Educator’, seramai 42 orang pensyarah telah berkongsi amalan terbaik PdP bagi penyampaian kursus Sains dan Matematik peringkat pengajian tinggi. Selain itu, pakar rujuk UTM juga telah dijemput untuk berkongsi hala tuju dan perkembangan semasa perancangan PdP Universiti.

Menariknya, pensyarah Fakulti telah berjaya merintis beberapa peluang kaedah PdP yang baharu seperti pelaksanaan kursus amali secara maya. Begitu juga, simposium penyelidikan pelajar tahun akhir juga telah berjaya disempurnakan secara dalam talian.

Bagi memastikan proses hubungan dan interaksi bersama pelajar dapat diteruskan, Fakulti Sains telah mewujudkan pejabat akademik maya melalui platform webex. Malah, pengalaman pembelajaran pelajar turut dipelbagaikan menerusi pelbagai aktiviti yang dilaksanakan secara dalam talian.

Misalnya, Fakulti Sains telah menganjurkan pertandingan ‘FS Newton Moment’ bagi membolehkan pelajar berekspresi dengan kreatif sewaktu mengikut proses PdP daripada kediaman masing-masing.  Selain itu, program pembangunan pelajar Fakulti Sains ‘MyRoadmap’ juga telah diteruskan seperti perancangan asal, tetapi melalui pelbagai platform interaktif secara dalam talian. Antaranya adalah program sukan Fakulti, program persediaan kerjaya dan program bersama alumni.

Selain dari itu, program pengantarabangsaan pelajar juga berjaya diteruskan dengan pelaksanaan webinar melalui siri program ‘Online Global Classroom’ (OGC). Program ini telah membuka peluang penglibatan pelajar dalam program di peringkat global secara lebih terangkum. Mengikut rekod semasa, Fakulti Sains telah berjaya menganjurkan sejumlah 21 siri OGC dengan penglibatan pelajar Fakulti sejumlah 828 orang.

Bagi tahun 2021, Fakulti Sains akan meneruskan pelbagai program secara pendekatan kreatif bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar. Hasrat ini adalah selari dengan keperluan pembangunan pelajar secara holistik dan bersepadu walaupun mendepani cabaran norma baharu.

Penulis:

Dr. Mohd Bakri Bakar & Hjh. Nor Azlinda Abu Bakar

Explore More