April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 2 Nov. – Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja Negeri Johor (MEKAR Johor) yang dibangunkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilancarkan dengan rasminya hari ini.

Majlis pelancaran yang telah berlangsung di Horizon Hills Golf and Country Club, Iskandar Puteri itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis Johor, YDH Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.

Prof. Fauzi yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UTM berkata pelancaran modul ini telah merintis satu bentuk hubungan baik antara pihak UTM dengan Ibu Pejabat Kontijen Polis Negeri Johor sebagai salah satu bentuk kolaborasi serta khidmat komuniti yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara khususnya di Negeri Johor.

“Adalah diharapkan MEKAR Johor ini menjadi antara strategi pencegahan jenayah yang mampu menyumbang ke arah pembinaan masyarakat yang aman dan selamat.

Tidak dapat dinafikan bahawa bagi memastikan keberkesanan MEKAR Johor ini, ia memerlukan kesediaan dan kebersamaan masyarakat di semua peringkat untuk sama-sama melibatkan diri secara aktif dalam menjayakan modul pencegahan jenayah yang julung kali dilaksanakan di seluruh sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di Negeri Johor, ” kata beliau.

Menurut beliau lagi, kepercayaan yang diberi oleh Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor menunjukkan pengiktirafan tinggi kepada pihak UTM terhadap bidang kepakaran yang ada dalam kalangan Pegawai Pusat Kaunseling universiti.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian modul tersebut yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

MEKAR Johor mengandungi tiga modul utama iaitu Narkotik, Jenayah Sosial serta Gangguan Seksual dan submodul Keibubapaan

Ia memberikan tumpuan kepada empat kategori iaitu pelajar sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan juga golongan ibu bapa.

Modul ini juga memberikan penekanan kepada pendefinisian setiap perilaku jenayah, impak kepada diri dan persekitaran, implikasi dan peruntukan perundangan terhadap setiap jenayah yang dilakukan di samping elemen psikologi, kaunseling, aspek kerohanian dan aktiviti juga dimasukkan dalam modul ini.

Modul MEKAR Johor ini akan digunakan sebagai kit bantuan penyampaian ceramah dan informasi dalam program-program kesedaran komuniti anjuran PDRM kelak.

MEKAR Johor ini turut juga bakal dijadikan sebagai satu silibus yang seragam dan akan digunapakai oleh setiap Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada Pegawai Polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan juga IPT di Negeri Johor.

Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan (Dua kiri) menyampaikan Modul MEKAR Johor kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail selepas majlis perasmian modul itu yang berlangsung di Horizon Hills Golf and Country Club, Iskandar Puteri, Johor Bahru pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay serta barisan kepimpinan PDRM Kontinjen Johor bergambar kenangan dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail selepas majlis perasmian.

Explore More