April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Dis. — Satu Surat Cara telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Lazada Group Malaysia bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU).

Surat Cara berkenaan telah ditandatangani oleh Dekan FABU, Prof. Dr. Hishamuddin Mohd Ali yang mewakili UTM manakala Lazada telah diwakili oleh Pengurus Hal Ehwal Kerajaan dan Polisinya, Afiz Redzuan.

Prof. Hishamuddin yang ditemui selepas majlis menandatangani surat cara berkenaan berkata kerjasama ini akan merangkumi beberapa program seperti insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh kerajaan.

“PENJANA adalah inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menjana semula aktiviti- aktiviti ekonomi negara akibat kesan daripada pandemik COVID-19. 

“Melalui program kerjasama ini, beberapa tenaga pengajar dari UTM, Lazada dan industri akan menggembleng tenaga dalam membangunkan sukatan pengajaran untuk mempersiapkan graduan UTM agar mempunyai kemahiran tembahan selain yang dipelajari di bilik kuliah,” katanya lagi.

Antara program- program yang bakal dijalankan ialah e-perdagangan, pengurusan produk, analitikal data, e-logistik, keusahawanan digital dan pengurusan sains data.

“Melalui inisiatif PENJANA Kementerian Pengajian Tinggi (PENJANA-KPT), bakal graduan termasuk yang telah bergraduat juga akan mengikuti beberapa program latihan untuk mempertingkatkan kemahiran serta berpeluang untuk mendapat penempatan pekerjaan setelah berjaya menamatkan program tersebut,” katanya.

Kerjasama bersama pihak Lazada merangkumi program khas kebolehpasaran graduan di peringkat sijil dan diploma eksekutif.

“Selain memberikan faedah kepada graduan UTM, program ini juga bakal dibuka pada orang awam yang memerlukan kemahiran tambahan yang berkaitan,” ujar Prof. Hishamuddin lagi.

Sementara Afiq Redzuan pula berpendapat Lazada ialah sebuah syarikat yang sentiasa menyokong universiti- universiti awam dalam membantu para graduan meningkatkan daya kemahiran terutama yang diperlukan di pihak industri.

“Program-program yang bakal dilancarkan pada tahun 2021 ini tidak hanya akan memberi faedah kepada graduan-graduan dan orang awam malah pihak Lazada juga turut menawarkan kerjasama dalam bentuk geran penyelidikan kepada penyelidik-penyelidik UTM terutama dalam bidang keusahawanan, pengurusan data serta e-perdagangan.

Kerjasama UTM-Lazada ini juga turut mensasarkan kelompok B40 dalam usaha untuk membangunkan tahap ekonomi yang selari dengan usaha kerajaan dalam menjadi negara berpendapatan tinggi,” katanya lagi.

UTM berharap agar kerjasama ini akan sentiasa berterusan terutama dalam menyuntik kemahiran yang lebih berdaya saing kepada graduan-graduan.


Surat cara tandangan kerjasama yang di tandatangi secara berasingan oleh UTM yang diwakili oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Dr. Hishamuddin Mohd. Ali bersama wakil Lazada Group.

Explore More