April 25, 2024

Search
Close this search box.

Sekumpulan penyelidik dari Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya memperoleh geran penyelidikan bernilai RM240,000 oleh sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembenihan dan fertigasi nanas, Aladdin Pine Sdn Bhd.

Projek ini diketuai oleh Prof. Dr. Hesham Ali El-Enshasy bersama penyelidik Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas dan Ts. Dr. Daniel Joe Dailin.

Program yang diberi nama ‘Pineapple: Good Plantation Practice for Nursery to High Nutritional Food’ mensasarkan penyelidikan bagi menghasilkan baka tanaman nanas MD2 yang ditambah baik melalui kaedah ‘High Technology Quatering’ bagi meningkatkan nilai nutrisi dan prebiotik nanas.

Melalui teknologi ini, pokok yang disemai menggunakan kaedah mikropropagasi nanas akan diberi hormon tumbesaran yang dihasilkan sendiri daripada kepakaran IBD melalui pembangunan bioproses dan fermentasi.

Sebanyak tiga sub-projek dijalankan bagi merealisasikan program kolaborasi ini, iaitu ‘Isolation, Identification and Medium Optimization for Production Growth Hormones (Auxin) for Pineapple Propagation’ yang diketuai oleh Ts. Dr Daniel Joe Dailin, ‘Bioprocess Development for Production of Growth Hormones from Submerged Fermentation Process for Pineapple Propagation’ yang diketuai oleh Profesor Dr. Hesham Ali El-Enshasy dan ‘Pineapple MD2 Propagation Through High Technology Quatering and Studies on High Nutritional Values and Prebiotic Properties of the Produced Fruits’ yang diketuai oleh Dr. Nor Hasmaliana Abdul Manas.

Projek yang bermula pada 1 Oktober 2020 ini dijalankan dengan matlamat meningkatkan kualiti nutrisi nanas yang dihasilkan negara melalui bioteknologi dan mempercepatkan proses percambahan nanas untuk memenuhi pasaran nanas MD2 dan komersial secara meluas.

Nanas yang kaya dengan prebiotik dan enzim penting bromelain akan meningkatkan nilai komersial nanas negara, lantas mendapat tempat di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Keadaaan tanah dan cuaca di Malaysia meningkatkan lagi potensi untuk menghasilkan buah yang terbaik, lebih manis dan berkualiti berbanding penanamannya di negara-negara seperti Filipina, Thailand dan pengeluar nanas MD2 sendiri, Costa Rica.

Pihak Aladdin Pine melalui kerjasama dengan beberapa agensi lain seperti SIME Darby Sdn Bhd mensasarkan golongan petani B40 untuk mendapatkan manfaat daripada hasil kerjasama penyelidikan ini .

Golongan petani B40 ini bukan sahaja akan dibimbing dan diberikan latihan, malah dapat mempraktikkan amalan terbaik dalam penanaman dan penghasilan nanas yang berkualiti tinggi serta pelbagai kaedah menangani isu penyakit dan kerosakan buah dan pokok nanas yang akan dihasilkan.

Explore More