April 27, 2024

Search
Close this search box.

Prof. Madya Dr. Mohd Zaidi Abd. Rozan dan Dr Umar Haiyat Abdul Kohar dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya mendapat geran bagi melaksanakan program perantisan pembangunan usahawan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM933,566.00

Geran ini dianugerahkan setelah kedua-dua ahli akademik ini berjaya mendapatkan kecercayaan KPT untuk menganjurkan sebuah program pembangunan usahawan yang komprehensif dengan fokus kepada penggunaan internet (e-dagang).

Dr Mohd Zaidi yang diwawancara di pejabatnya berkata syor yang dikemukakan kepada KPT adalah ‘Impact Digital Entrepreneurship Apprentice’ atau IDEA yang merupakan program perantisan mahasiswa Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti yang memanfaatkan Perdagangan Digital (Digital Commerce).

Di bawah program IDEA ini, seramai 156 mahasiswa akan dipilih dan kumpulan ini akan membentuk sebanyak 52 pasukan yang terdiri dari tiga mahasiswa dari pelbagai UA, Politeknik dan juga Kolej Komuniti seluruh Malaysia.

Kumpulan mahasiswa ini akan ditempatkan di 52 buah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terpilih di seluruh negara selama dua bulan serta dikehendaki untuk memberikan khidmat dan berkongsi kepakaran mereka kepada syarikat IKS dimana mereka ditempatkan.

IKS yang terpilih adalah yang berdaftar dengan Tekun Nasional yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).  Sasaran IKS yang terlibat adalah yang terlibat dalam Inisiatif Tekun : COVID-19 contohnya penerima Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS).

Selama dua bulan menjalani latihan perantisan di IKS terpilih, kumpulan mahasiswa ini akan berusaha untuk menggunakan kemahiran dan kebijaksanaan masing-masing bagi mempertingkatkan prestasi perniagaan syarikat ini melalui penjenamaan semula produk/perkhidmatan yang diberikan.

Kumpulan perantis mahasiswa ini seterusnya membantu meningkatkan peminat (Likers/Followers) pada laman web dan sosial industri yang berkenaan sekaligus juga meningkatkan imej dan reputasi IKS ini di samping menambahkan permintaan kepada produk syarikat berkenaan yang juga meningkatkan keuntungannya.

Program yang bermula pada November 2020 ini akan berlangsung sehinggalah Mac 2021 dimana penempatan pelajar bersama IKS yang terpilih selama dua bulan hanya bermula pada pertengahan Januari 2021 dan berakhir pada pertengahan Mac tahun hadapan diikuti dengan sesi Makmal Hidup (Living Lab) dan pembangunan Rangka Tindakan atau (Blueprint) dalam akvititi Pemasaran Digital (Digital Marketing).

Setelah tamat tempoh perantisan, setiap peserta akan dikehendaki membentang kertas kerja mengenai butiran aktiviti dan juga penambahbaikan yang telah dilakukan di IKS dimana mereka ditempatkan dalam satu sesi pameran dan pertandingan Keusahawanan Digital Mahasiswa yang bakal berlangsung pada bulan Mei 2021.

Pemenang akan ditentukan melalui setiap dari aspek penambahbaikan dan juga kepakaran yang telah dikongsi bersama IKS di mana mereka ditempatkan dan akan dinilai oleh juri yang profesional.

Bebarapa hasil yang positif (khusus) dijangkakan akan dapat diperolehi dari program perantisan keusahawanan ini dan memberikan kesan terhadap 156 mahasiswa yang menyertainya, 52 kajian kes yang dijalankan, 52 tenaga pengajar yang mengiring kumpulan mahasiswa peserta. 

Untuk seramai 156 orang mahasiswa yang menyertai program ini, mereka telah mendapat pendedahan dengan konsep-konsep pemasaran digital terutamanya melalui media sosial.

Sebanyak 20 pendaftaran perniagaan juga dijangka akan dapat diwujudkan oleh mahasiswa yang mengikuti program ini di mana kumpulan pelajar ini disasarkan untuk memulakan dan menjalankan perniagaan sendiri atau menjadi rakan kongsi perniagaan usahawan IKS yang mereka ditempatkan.

Sepanjang tempoh perantisan ini, kumpulan-kumpulan mahasiswa ini telah ditindikkan dengan usahawan IKS bagi membantu pembangunan operasi perniagaan secara digital atau dalam talian sekaligus memberikan manfaat serta ‘nafas’ baru kepada perniagaan syarikat yang terlibat.

Tempoh perantisan ini juga dapat dijadikan sebagai ‘living lab’ atau makmal hidup kepada golongan mahasiswa ini dalam mengaplikasikan ilmu berkenaan pemasaran digital secara langsung dan praktikal.

Explore More