November 23, 2024

Search
Close this search box.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Penerbitan Pelangi Sdn Bhd telah membangunkan sebuah program pembelajaran untuk pra-sekolah yang bersesuaian dengan pembelajaran abad ke-21.

Program yang dinamakan sebagai i-LEAP itu telah dimulakan pada tahun 2017 oleh sekumpulan ahli akademik dan penyelidik dari Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) diketuai Prof. Dr Yeo Kee Jiar.

Prof. Dr. Yeo Kee Jiar berkata bahawa keterlibatan para ahli akademik dalam projek ini dibuat berdasarkan bidang kepakaran mereka dalam pendidikan kanak-kanak.

“Dr Corrienna Abdul Talib dan Marlina Ali terlibat dalam mata pelajaran Sains manakala Dr Norulhuda Ismail dan Prof. Madya Dr Abdul Halim Abdullah pula dilibatkan dalam menggubal subjek Matematik.

Bagi Bahasa Inggeris pula pensyarah terlibat ialah Prof Madya Dr Zubaidah Awang, Dr Fauziah Ismail, Dr Azian Abd. Aziz@Ahmad dan Dr Aminabibi Saidalvi,”katanya lagi.

Prof. Yeo berkata kaedah i-LEAP yang bermaksud ‘I Learn through the 5E’s and Play’ serta slogan ‘Make Way for Play’ dapat menanamkan kemahiran asas Sains dan Matematik serta kecekapan berbahasa Inggeris kepada kanak-kanak berusia 3-6 tahun melalui kaedah yang berpaksikan kepada aktiviti berasaskan permainan.

“Pengembangan program tadika dimulakan dengan pembinaan kerangka dan kurikulum pembelajaran serta visualisasi aktiviti yang sesuai untuk anak-anak prasekolah diikuti perancangan buku kerja, aktiviti, buku cerita dan panduan guru yang merangkumi proses pemeriksaan dan pembuktian menyeluruh setiap bahan.

Kandungan setiap subjek disatukan dengan fasa pengajaran dan pembelajaran yang memasukkan elemen interaktif, imaginatif, inovatif dan berimpak khususnya dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang juga mengintegrasikan aktiviti STEM ke dalam kandungannya,” katanya.

Pembangunan program ini telah dilancarkan secara rasmi pada pertengahan 2019 di majlis makan malam sempena ulangtahun ke-40 Penerbitan Pelangi dengan sambutan yang baik.

Kedua-dua belah pihak yang bekerjasama juga giat dalam mempromosikan bahan pengajaran dan pembelajaran ini di Malaysia, Indonesia dan Thailand.

“Selain bertanggungjawab dalam membangunkan serta mempromosikan bahan pengajaran ini, kami juga diberikan tanggungjawab untuk melatih tenaga pengajar di seluruh Malaysia dan Indonesia berkenaan dengan penggunaan i-LEAP ini,” katanya.

Seramai 4,000 guru tadika dari Malaysia dan Indonesia telah menerima latihan berikaitan dengan penggunaan i-LEAP ini melalui bengkel secara bersemuka ataupun dengan kaedah dalam talian.

Dr Aminabibi bersama peserta di Medan, Indonesia
Prof Yeo Kee Jiar bersama para peserta di Jakarta
Sesi konsultansi bersama dengan wakil dari Pelangi publications
Contoh produk i-LEAP

Explore More