April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU , 26 Okt – Sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Reservoir Link Solution Sdn Bhd (RLS), anak syarikat Reservoir Link Group, sebuah syarikat pembekal barangan dan perunding dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas.

Memorandum bagi menggalakkan kerjasama dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas itu telah ditandatangani secara maya di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI), kampus Johor Bahru dengan UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Ts. Dr Ahmad Fauzi Ismail manakala RLS pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Wan Hassan Mohd Jamil.

Prof. Fauzi dalam ucapannya berkata kedua-dua belah pihak akan menjalankan kerjasama strategik untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas di samping memberikan input yang berguna bagi UTM dalam meningkatkan kurikulumnya yang sesuai dengan kehendak semasa industri.

“Di samping kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, kedua-belah pihak juga akan memfokuskan kepada penyelidikan dalam membangunkan inovasi berkaitan bahan kimia yang akan digunakan dalam operasi minyak dan gas.

“Ini secara langsung membuka peluang kerjasama dalam penerbitan jurnal dan bahan ilmiah sekaligus akan membawa impak positif kepada peningkatan kualiti pendidikan dan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas di Malaysia seterusnya mengukuhkan jenama UTM di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama ini juga dapat menarik minat staf UTM untuk melibatkan diri dalam program sangkutan bersama pihak industri.

“Ini dapat membuka lebih banyak peluang bagi penempatan latihan industri kepada mahasiswa UTM di samping menyediakan peluang pekerjaan yang luas dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas kepada graduan universiti ini apabila tamat pengajian kelak.

Sokongan pihak RLS terhadap inisiatif penyelidikan dalam guna sama fasiliti atau peralatan berteknologi tinggi juga dapat meningkatkan lagi mutu penyelidikan ini,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Pengarah UTM-MPRC, Prof. Dr. Rahmat Mohsin dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Petroleum SKT, Dr. Muhammad Noorul Anam Mohd Nordin.

Prof. Fauzi (berdiri dua kiri) bersama dengan Pengarah UTM-MPRC, Prof. Rahmat Mohsin (paling kiri) dan Pengarah Jabatan Kejuruteraan Petroleum SKT, Dr. Muhammad Noorul Anam Mohd Nordin (kanan) ketika sesi pertukaran dokumen perjanjian dengan pihak RLS yang dilakukan dengan kaedah dalam talian (online) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Explore More