JOHOR BAHRU, 6 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) amat prihatin dengan situasi semasa dan memandang serius akan peningkatan kes positif COVID-19 di serata Malaysia.
Justeru Universiti mengambil langkah untuk menjalankan pendaftaran pelajar baharu dan pendaftaran semula pelajar kanan Universiti secara dalam talian bagi semester 1, 2020/2021.
Bagi semester 1, sesi 2020/2021, seramai 8,177 orang mahasiswa baharu peringkat prasiswazah dan pascasiswazah dijadualkan mendaftar pengajian bermula 10 hingga 13 Oktober 2020.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata tindakan penangguhan ini diambil susulan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 2 Oktober 2020.
Prof Durrishah berkata demikian sewaktu sidang media yang berlangsung di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) kampus Johor Bahru petang tadi.
“Para pelajar yang terbabit perlu mendaftar dan mengikuti kursus secara dalam talian dan tidak perlu hadir ke kampus bagi sesi pendaftaran dan pembelajaran.
Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) bagi mahasiswa baharu yang dijadualkan pada 11-14 Oktober 2020 pula akan dijalankan sepenuhnya dalam talian,” katanya lagi.
UTM juga menyediakan Bantuan Data Internet untuk pelajar mahasiswa yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan (B40) bagi pembelajaran Semester 1, 2020/2021 sebanyak 10GB sebulan bagi tujuan akses tanpa had ke laman web dan aplikasi yang telah ditetapkan seperti Zoom, Cisco Webex dan UTM e-learning untuk tempoh dua bulan.
Bantuan data tesebut merupakan inisiatif Institut For Life-Ready Gradute (UTM iLeaGue), Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa bersama UTM Digital.
“Pemberian data internet ini hanya diberikan kepada mahasiswa yang benar-benar layak sahaja yang ditapis berdasarkan pemohonan yang dikemukakan. Seramai 6,500 orang mahasiswa B40 akan menikmati bantuan ini.
Sehubungan itu pelajar adalah dinasihatkan untuk membuat permohonan segera bagi mendapatkan bantuan internet tersebut.
“Pelan data ini telah diagihkan bermula 9 Jun 2020 bagi fasa satu hingga tiga dan sehingga kini telah membantu 2,500 orang pelajar dan kini sedang memasuki fasa keempat,”katanya.
Menurut Prof Durrishah lagi, pelbagai bantuan kewangan turut diberikan melalui Unit Wakaf, Unit Zakat, Endowmen dan Alumni serta beberapa inisiatif khas seperti bantuan khas kepada pelajar Diploma Sains Komputer (Multimedia) yang telah mengalami insiden kebakaran kediaman keluarganya.
“Mana-mana pelajar yang mempunyai masalah kewangan boleh membuat permohonan bantuan kewangan melalui Unit Wakaf, Unit Zakat, Unit Endowmen dan UTM Alumni.
“Unit Endowmen juga sebelum ini telah menyumbangkan sebanyak 40 unit komputer riba serta bantuan kewangan sebanyak RM200.00 kepada 100 orang mahasiswa kategori B40,” katanya lagi.
Menurut Prof Durrishah lagi, pihak UTM sentiasa bersedia untuk mengambil langkah-langkah terbaik bagi memastikan keperluan para mahasiswanya diutamakan dalam menangani situasi pandemik COVID-19.
“Adalah menjadi harapan kami di UTM agar kesemua bantuan ini dapat digunakan dengan sebaiknya oleh mahasiswa semasa COVID-19 ini dan juga meringankan bebanan para pelajar dalam mengikuti segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam talian,” katanya lagi.
Sebarang maklumat lanjut dan terkini berhubung dengan penangguhan pendaftaran semester 1, 2020/2021 ini akan dimuat naik dari semasa ke semasa dan boleh diperolehi melalui pautan https://www.utm.my/faq-pp-sem-1-2020-2021/ atau menghubungi talian hotline 601118687022 (UTMJB) atau 60104040277 (UTMKL).