JOHOR BAHRU, 21 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Peperiksaan Malaysia bagi tahun 2020.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Senat, UTM Johor Bahru ini telah dihadiri oleh ahli-ahli MPM yang terdiri daripada Naib -Naib Canselor Universiti Awam (UA) Malaysia dan telah dipengerusikan oleh Pengerusi MPM yang juga merupakan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim.

Matlamat utama mesyuarat ini adalah menyelaraskan perjalanan peperiksaan-peperiksaan yang diletakkan di bawah kuasa MPM bersesuaian dengan objektif utama penubuhan badan itu iaitu untuk mengelolakan peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan-peperiksaan itu.

Antara peperiksaan yang diwartakan untuk diuruskan oleh MPM adalah Malaysian University English Test (MUET), Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), Malaysian Information Technology Examination (MITPE), Ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI), Ujian Malaysian University Selection Yearly Inventory (MUnSYI), Shariah Registered Financial Planner, Shariah Registered Financial Planner Capstone, Shariah Registered Financial Planner Ad-hoc dan Registered Financial Planner Capstone.

MPM juga mengelolakan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mula dilaksanakan pada tahun 1982 untuk menggantikan peperiksaan Higher School Certificate (HSC) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) yang dikendalikan oleh University of Cambridge Local Examinations Syndicate (UCLES).

Penubuhan MPM juga bertujuan untuk merealisasikan pengendalian peperiksaan-peperiksaan dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya bersesuaian dengan pelaksanaan dasar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dari peringkat pendidikan rendah hingga peringkat pendidikan prauniversiti (Tingkatan Enam).

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980 di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia [Akta 225] ialah sebuah badan berkanun yang beroperasi di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Majlis perasmian penubuhan MPM telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu, YB Dato’ Musa Hitam pada 22 April 1980.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif MPM, Tn. Haji Mohd Fauzi bin Datuk Haji Mohd Kassim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UTM dan juga Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ybhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Sebagai tuan rumah, UTM telah berpeluang menyalurkan cenderamata produk keluaran UTM daripada Naturel Kiss, UTM Agro Tani dan UTM Innovation Centre in Agritechnology for Advanced Bioprocessing (ICA) UTM bagi tujuan ini. Semoga dengan sumbangan cenderamata ini, usaha UTM untuk memperkenalkan produk UTM kepada pihak luar dapat dipertingkatkan.