Disember 19, 2024

Konsep Kelas Dalam Taman yang telah dipraktiskan sejak 50 tahun dahulu kini diadaptasikan dan dijenamakan semula oleh Sekolah Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (SKA-UTM) bagi menyediakan suasana pembelajaran yang tidak terkongkong dan lebih mudah difahami.

Berlantaikan tanah, berbumbungkan langit dan diteduhi pepohon, pelajar akan lebih aktif dan bebas berada di ruang pengajaran dan pembelajaran tanpa dinding sekaligus menginspirasikan persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang unik.

Konsep Kelas Dalam Taman ini juga membuktikan UTM sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan (RU) Malaysia mampu memacu idea dan mencetuskan inovasi bagi meneruskan kecemerlangan akademik.

Pensyarah Kanan Jabatan Struktur dan Bahan SKA-UTM, Prof. Ts Dr. Mohammad Ismail berkata Kelas Dalam Taman ini dapat menyatukan pelajar dengan alam semula jadi sekaligus menjadikan kaedah kelas terbuka ini menjadi satu format baharu yang dapat merangsang keterujaan pelajar berbanding dengan berada dalam kelas atau makmal yang tertutup.

Kelas Dalam Taman SKA-UTM bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar Kejuruteraan Awam dengan lebih baik dalam kursus yang berkaitan dengan bahan pembinaan, kerosakan, penilaian komponen dan pembaikan struktur.

Beberapa rasuk, tiang dan bingkai konkrit pra-tuang yang rosak selepas diuji telah dikumpulkan dan dibawa ke taman serta disusun mengikut tema yang menarik, dicat warna yang berbeza serta seni bina inovatif agar lebih menarik dan mengujakan.

Entiti-entiti ini diletakkan di taman supaya pelajar dapat melihat sendiri kerosakan struktur dan memahami bagaimana cara untuk mengelakkan kerosaskan ini daripada berlaku pada masa akan datang.

Bingkai-bingkai konkrit ini juga membolehkan mahasiswa mempelajari jenis retak berlaku kepada struktur konkrit bertetulang yang mempunyai maksud tertentu, sebab berlaku dan kesan terhadap kestabilan struktur.

Terdapat banyak jenis kerosakan dan kecacatan pada komponen konkrit bertetulang serta tetulang keluli yang dapat dipelajari dan difahami oleh pelajar dengan lebih berkesan sekiranya mereka berpeluang menyaksikannya di tapak kelas dalam taman.

Dengan adanya spesimen di taman ini lebih mudah untuk pelajar menerapkan teori dalam praktis di samping memberikan faedah kepada mereka yang mempunyai kekurangan kemahiran berimaginasi.

Di samping memanfaatkan bahan buangan yang semestinya menyokong dasar kelestarian kampus, Kelas Dalam Taman yang diwujudkan oleh SKA ini juga berpotensi menjadi kelas yang berguna buat pelajar dan pensyarah di Universiti ini.

Tidak dapat dinafikan lagi, Kelas dalam Taman ini menyediakan platform yang lebih baik dan menyeluruh bagi pelajar untuk melihat sendiri sambil diterangkan oleh pensyarah serta melaksanakan sesi perbincangan dan bertanya pelbagai soalan berkaitan jenis mod kegagalan struktur, masalah ketahanlasakan dan kecacatan struktur sekaligus menjadikan pelajar itu sendiri mudah faham dan menguasai subjek struktur dan bahan.

Konsep pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah Kelas dalam Taman dan seumpamanya perlu dipertimbangkan untuk diwujudkan di sekolah-sekolah dan juga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sesuai dengan displin ilmu dan tema yang ingin diketengahkan.

Bidang-bidang pengajian lain seperti senibina, ukurbahan, kulinari dan sejarah amatlah sesuai jika dimodulkan untuk diajar secara kelas terbuka. SKA-UTM sedia menawarkan kepakaran membantu apa yang perlu.

SKA-UTM sedia menawarkan kepakaran untuk membantu dalam memberikan bimbingan teknikal berkenaan pengwujudan Kelas Dalam Taman.

Adalah diharapkan dengan pewujudan kaedah pembelajaran secara terbuka seperti ini akan menjadi mercu tanda kepada SKA-UTM dalam usaha memartabatkan pendidikan kejuruteraan awam di Malaysia.

Kelas dalam Taman yang terletak di hadapan Sekolah Kejuruteraan Awam kampus Johor Bahru.
Pelajar berbincang dan melihat dekat kanu simenfero yang boleh terapung atas permukaan air.
Prof Mohammad menerangkan kaedah dan pemasangan ‘carbon fibre’ untuk mengukuhkan bahagian sambungan struktur menggunakan entiti konkrit yang terletak di Kelas Dalam Taman berhadapan SKA, kampus Johor Bahru.

Explore More