JOHOR BAHRU, 11 Okt – Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menganjurkan MyCareer @ MOHE –UTM Virtual Career Carnival 2020 pada 11-16 Oktober 2020.
Program Karnival Kerjaya 2020 ini diatur dengan menggunakan kaedah dalam talian untuk pertama kalinya sebagai langkah untuk mencegah penyebaran wabak COVID-19.
Pengarah UTMCC, Prof. Madya Dr Othman Ibrahim berkata selain menjadi elemen berkesan dalam memberikan maklumat mengenai peluang pekerjaan yang lebih luas kepada graduan UTM, program ini juga dapat memudahkan pelajar tahun akhir dalam mencari lokasi penempatan latihan industri.
“Pengunjung boleh menonton keseluruhan program yang dipaparkan dalam talian melalui alamat http://www.utmcareercarnival.com serta berpeluang untuk meneliti sebanyak 11,602 peluang pekerjaan yang disediakan.
Program berimpak tinggi ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Hasni Haji Mohammad,”katanya.
Majlis perasmian disiarkan di laman web http://www.utmcareercarnival.com dan https://www.facebook.com/utmcc2020/ pada 15 Oktober 2020 jam 10.30 pagi dengan penyertaan lebih daripada 40 syarikat termasuk Micron Semiconductor Malaysia Sdn Bhd, Schlumberger Malaysia Sdn Bhd, Hartalega dan pelbagai syarikat lain yang mengambil bahagian.
Dr Othman berkata pihak penganjur telah menyusun pelbagai pengisian program bagi memberikan impak yang semaksima mungkin kepada para pengunjung antaranya melaksanakan dua program satelit sebelum program bermula yang bertujuan untuk mempromosikan karnival kerjaya ini kepada semua pelajar dan graduan.
“Dua program satelit yang dilaksanakan adalah Menciptakan Kerjaya sebagai Usahawan Muda yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GetMove Sdn Bhd, Muhamad Ziyad pada 6 Oktober 2020 diikuti oleh program kedua iaitu Petua Komunikasi Untuk Temuduga Kerja yang disampaikan oleh jururunding firma perunding Carry Cute, Hafiz Mustapha.
Menurut Dr Othman lagi, penganjur juga telah menyusun sesi webinar yang berlangsung dua kali sehari semasa karnival berlangsung di samping sesi temuduga pengambilan pekerja bagi mengisi kekosongan yang ditawarkan.
“Setiap slot webinar dapat dihadiri oleh 1000 peserta dalam satu masa. Semasa sesi temu duga, calon harus membuat permohonan sebelum disenarai pendek oleh syarikat diikuti sesi temuduga bagi calon yang berjaya disenarai pendek,” katanya lagi.
Karnival ini dapat meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan UTM di mana pelajar terus ditawarkan peluang pekerjaan semasa program ini.