April 23, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 21 Sept. – Sebanyak empat Memorandum Perjanjian (MoA) dan satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) pada hari ini.

Dokumen MoA dan MoU ini telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof. Ts. Dr Mohd Hamdan Haji Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Puan Nurul Naqiah binti Haji Fadzil.

Turut hadir menjadi saksi tandatangan kerjasama ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, YB Puan Zaiton Ismail dan Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof.

Prof. Hamdan dalam kata aluannya mengatakan bahawa majlis menandatangani MoA dan MoU ini bukan awalan kepada kerjasama antara dua organisasi ini tetapi lebih sebagai penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama yang telah sedia berlangsung sejak tahun 2019.

“MoU dan MoA ini merupakan satu kerjasama strategik dengan objektifnya adalah memberikan pendedahan kepada seluruh masyarakat bukan Islam di Negeri Johor tentang Modul Keluarga Sejahtera Negeri Johor (MKSNJ).

UTM berperanan sebagai kumpulan penyelidikan dan perundingan dalam membangunkan MKSNJ ini secara komprehensif bagi memenuhi keperluan masyarakat kini dalam konteks masyarakat majmuk bukan Islam,” katanya lagi.

Pihak YPKDT pula bertindak sebagai pemudahcara dalam medium penyampaian MKSNJ ini kepada golongan sasaran terutama kepada seluruh rakyat negeri Johor kategori bukan Islam.

Kerjasama projek yang telah dipersetujui melibatkan tiga projek iaitu Penyelidikan dan Pembangunan ‘Massive Open Online Courses’ (MOOC) MKSNJ, Pembangunan dan Rekabentuk Infografik MKSNJ, dan Kembara Keluarga Sejahtera Negeri Johor.

“Ketiga-tiga projek ini dibangunkan untuk memastikan MKSNJ dapat diakses secara meluas dan dilaksanakan secara pertemuan fizikal atau atas talian.

“Ini bagi memastikan seluruh rakyat negeri Johor khususnya masyarakat bukan Islam dapat mengamalkan nilai-nilai kekeluargaan dalam kehidupan seterusnya memartabatkan institusi kekeluargaan,” katanya lagi.

Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Nurul Naqiah Hj Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah YPKDT, YB Zaiton Hj Ismail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr Mohd Hamdan Haji Ahmad dan Pengarah CFiRST, Prof. Dr. Farahwahida Mohd Yusof.

Explore More