April 20, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 18 Sept. — Sebuah majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah berlangsung di Bukit Jalil bersempena dengan majlis pelancaran program ISN Inspire 2020.

Majlis pertukaran memorandum persefahaman ini telah diwakili oleh Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Pengarah Institute of Human Centered Engineering (iHumEn) bagi pihak UTM manakala ISN diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tn. Ahmad Faedzal Md Ramli.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Lembaga ISN, Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad dan juga Pengarah ‘Sports Innovation & Technology Centre’ (SITC) UTM, Dr. Muhamad Noor Harun.

Prof. Shahrizal berkata memorandum ini dimeterai bagi membolehkan kerjasama dan pembangunan strategik yang mapan untuk akademik, perkhidmatan dan penyelidikan dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan dijalankan antara kedua-dua belah pihak.

“MOU ini juga adalah untuk menawarkan kerjasama secara bersama dengan ISN dalam pembangunan Pusat Kecemerlangan atau ‘Centre of Excellence’ (COE) Teknologi Sukan ISN di peringkat nasional dengan kesediaan SITCUTM untuk menjadi Hub COE ISN di bahagian zon selatan tanahair.

Antara perancangan lain yang ingin dilaksanakan adalah untuk membangunkan secara bersama modul serta kursus kursus asas seperti Sijil Asas Inovasi dan Teknologi Sukan Tahap 1, 2 dan 3 di bawah Akademi Kejurulatihan Kebangsaan yang bernaung di bawah ISN,” katanya lagi.

Prof. Shahrizal berkata bahawa secara keseluruhannya, memorandum ini adalah untuk membentuk kesinambungan usaha yang berterusan dalam memastikan pembangunan sukan yang lebih seimbang terhadap industri revolusi 4.0 serta pendedahan terhadap inovasi dan teknologi sukan kepada atlet, jurulatih, persatuan sukan dan agensi kerajaan demi memartabatkan kecemerlangan dan kegemilangan sukan negara.

“Sepertimana yang diketahui umum, UTM adalah universiti yang memberi fokus utama terhadap teknologi dan kejuruteraan di Malaysia dan dengan itu kerjasama ini dapat membuka peluang penyelidikan bersama dan perkongsian kepakaran terhadap bidang inovasi, teknologi dan kejuruteraan sukan sebagai pemangkin kejayaan atlet dan sukan negara.

“Kerjasama ini juga merupakan satu tanggungjawab sosial universiti (USR) di mana semua pihak yang terlibat mendapat manfaat bersama hasil kerjasama universiti dan industri,” katanya lagi.

UTM juga mempunyai keunikan tersendiri dengan mempunyai tiga entiti utama sukan yang saling menyokong dan memenuhi antara satu sama lain dalam menjalankan program sukan di dalam universiti ini.

Entiti sukan yang pertama adalah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dengan menawarkan kursus Ijazah pertama dalam bidang Sains Sukan serta Pendidikan (Sains Sukan) diikuti entiti kedua iaitu Sports Innovation and Technology Centre (SITC) yang bernaung di bawah Institute of Human Centered Engineering (iHumEn)

Entiti ketiga pula adalah Pusat Kecemerlangan Sukan atau ‘UTM Sports Excellence’ yang menguruskan program, pertandingan dan kebajikan atlet sukan di kampus universiti ini. Kewujudan 3 entiti pejabat sukan UTM ini dapat membantu pihak ISN dalam memastikan kejayaan atlet di peringkat nasional dan antarabangsa.

Setelah majlis MoU selesai dijalankan, YB Dato’ Sri Reezal Merican juga seterusnya melawat ke tapak pameran yang disertai oleh beberapa institusi pengajian tinggi jemputan khas dan syarikat serta badan berkanun yang lain.

SITC UTM yang mengambil inisiatif turut sama terlibat telah mempamerkan beberapa produk SPORTS 4.0 iaitu inovasi dan teknologi sukan yang telah dijalankan oleh SITC di UTM seperti Virtual Reality Rowing, CAVE Automatic Virtual Environment, Intelligent Drone Monitoring System dan Visual Signal Device for Deaf Sport.

Akhir sekali, tapak pameran SITC juga telah dilawati oleh Prof. Madya Dr. Raja Ferhad yang merupakan Timbalan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam yang sangat berminat untuk melakukan kerjasama dari sudut analisis sukan bagi pasukan bola sepak tanah air.

Beliau juga merupakan konsultan analisis sukan kepada UiTM FC dan Selangor FA. Beliau melihat potensi dan peluang koloborasi yang amat baik bersama SITC dalam teknologi sukan.

Secara tuntasnya, Institut Sukan Negara adalah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang merupakan peneraju utama kepada pembangunan kemajuan dan kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan negara.

Kecemerlangan dan kejayaan dalam peningkatan prestasi atlet dan sukan negara menjadi fokus utama ISN. Justeru, UTM akan bersama ISN khususnya SITC untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang berkaitan sukan seperti pendidikan dan penyelidikan secara bersama.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican (dua kanan) bersama Pengerusi Lembaga ISN, Prof. Dato’ Dr. Rahmat Mohamad (dua kiri) menyaksikan sesi pertukaran Memorandum Persefahaman diantara Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) dan Pengarah Institute of Human Centered Engineering, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar (kanan)
Delegasi dari Sports Innovation & Technology Centre, UTM di tapak pameran di Institut Sukan Negara
Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican (dua dari kiri) menyaksikan demo Visual Signal Device for Deaf Sport oleh Dr. Jaysuman Pusppanathan (kanan) sambil disaksikan oleh Presiden Malaysian Deaf Sports Association (MSDeaf), Ong Shin Ruenn (dua dari kanan) dan Pengarah Institute of Human Centered Engineering, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar (tiga dari kanan)
Delegasi dari SITC bersama Presiden Malaysian Deaf Association, Ong Shin Ruenn (empat dari kiri)
Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip (kiri) dan Dr. Mohd Najeb Jamaludin (kanan), felo penyelidik SITC bersama R. Jaganathan (tengah), jurulatih paralimpik kebangsaan
Prof. Madya Dr. Raja Ferhad (kiri) bersama Mohd Fauzi Ibrahim (dua kanan) bersama felo penyelidik SITC
Dr. Hadafi Fitri Mohd Latip bersama Shalin Zulkifli, ratu boling negara

Explore More