April 24, 2024

Search
Close this search box.

Perpustakaan UTM Dilantik sebagai Tuan Rumah Program Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara

JOHOR BAHRU – Sebanyak 33 buah lokasi di 11 buah negeri seluruh negara termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih bagi menjayakan program Jelajah Jubli Emas Sambutan ke-50 tahun penubuhan Rukun Negara oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Ketua Biro BERNAMA Johor, Nor Baizura Basri berkata tujuan utama jelajah ini adalah bagi menyemarakkan sambutan dan memantapkan lagi penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Di samping itu, kami juga ingin mempromosikan penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara dan memberikan galakan kepada masyarakat setempat supaya aktif melibatkan diri dalam program anjuran BERNAMA,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri salah satu usaha program tersebut iaitu “Jerayawara Menyemarakkan Sambutan 50 Tahun Rukun Negara”  di Perpustakaan Raja Zarith Sofia (PRZS) UTM kampus Johor Bahru pada 10 September 2020

Jerayawara yang dianjurkan di perpustakaan UTM ini adalah secara kolaborasi di antara UTM, BERNAMA, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan juga Kementerian Perpaduan Negara.

Pengisian program adalah ikrar, tayangan video Rukun Negara dan promosi aktiviti, nyayian lagu, kuiz, dan penyerahan bahan promosi seperti roll-up bunting, penanda buku dan pelitup muka.

Antara aktiviti anjuran BERNAMA yang dipromosikan adalah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, E-Treasure Hunt, Bual Bicara Bersiri, Dokumentari dan Virtual Unity Ride 2020.

Rukun Negara secara rasminya diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang Di-Pertuan Agong ke-4, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin berikutan dengan peristiwa 13 Mei 1969 bagi mencapai perpaduan yang erat di kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama, dan budaya.

Manakala sambutan Jubli Emas, Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pula telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini pada 9 Julai 2020 sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi perpaduan dan keharmonian nasional di kalangan rakyat Malaysia.

Dari kiri: Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr Zaleha Abdullah, Ketua Pustakawan UTM, Noraziah Sharuddin dan Ketua Biro BERNAMA Johor, Nor Baizura Basri sewaktu program Jeyawaraya Jubli Emas ke-50 Rukun Negara di Perpustakaan Raja Zarith Sofia (PRZS) UTM Johor Bahru.

Explore More