April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU – Unit Alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTMAlumni) dengan kerjasama Unit Integriti Pejabat Pendaftar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan Seminar Integriti, Governans Dan Rasuah yang bertajuk “Hentikan Rantaian Rasuah” pada 23 Ogos 2020.

Bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, program ini telah dihadiri oleh seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor dan staf UTM.

Mengulas mengenai penganjuran seminar ini, Timbalan Pengarah (Pembangunan Alumni) UTM Alumni, Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali berkata UTM sangat komited dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam setiap urusan pentadbiran harian yang dijalankan.

“UTM sentiasa mengambil berat berkenaan inisiatif berkaitan integriti yang dilaksanakan di peringkat universiti dan juga di peringkat kerajaan Negeri Johor. Bagi memantapkan nilai integriti di kalangan warga kampus, Unit Integriti UTM telah ditubuhkan pada tahun 2013 berdasarkan kepada enam teras utama iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

“Unit Integriti ini sentiasa memancu semua staf dalam memperkukuhkan penghayatan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam kehidupan.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran program itu yang berlangsung di Dewan Bankuet, BCSI yang telah disempurnakan oleh Pengarah SPRM Negeri Johor, YBhg. Dato’ Haji Azmi Haji Alias mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

“Adalah diharapkan melalui penganjuran seminar ini, peserta dan warga UTM dapat memahami, menghayati dan membudayakan integriti dan seterusnya menghentikan rantaian rasuah ke arah melaksanakan agenda integriti dalam organisasi secara holistik,” katanya.

Majlis juga diserikan lagi dengan acara perasmian dan pelancaran Logo Integriti UTM oleh YBhg Dato’ Haji Azmi Haji Alias. Hadir mengiringi beliau adalah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad.

Turut hadir adalah Pendaftar UTM, Abdul Razib Haji Shahuddin dan juga Pengarah UTM Alumni, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hisyam Rasidi.

Program ini juga turut mendapat kerjasama Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kerajaan Negeri Johor, Persatuan Bekas Pegawai SPRM dan PBT Negeri Johor.

Pengarah SPRM Johor, YBhg Dato’ Haji Azmi Haji Alias melancarkan Logo Integriti UTM bersempena perasmian Seminar Integriti, Governans Dan Rasuah yang bertajuk “Hentikan Rantaian Rasuah” di UTM Johor Bahru.

Explore More