April 24, 2024

Search
Close this search box.

Sebanyak RM40.438,476.00 telah dibelanjakan dari Peruntukan Bantuan Kewangan dan Kebajikan Pelajar oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tahun 2019 hingga 2020.

Dengan bersumberkan kewangan yang diperolehi dari Tabung Universiti, Endowmen, Zakat, Wakaf dan Alumni, UTM telah membelanjakan jumlah wang yang sangat besar dalam memberikan biasiswa dan bantuan dari sumber-sumber berikut: Bantuan Zakat, Dana Wakaf Pendidikan, Biasiswa Endowmen, Biasiswa Pelajar Pasca-Siswazah, Pengecualian Yuran (Prasiswazah), Pembiayaan Perubatan Pelajar Kanser (Pusat Islam), Bacause We Care Chancellor’s Fund dan Pembangunan & Kecemerlangan Sukan.
Lapangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga tidak ketinggalan dalam menerima imbuhan yang besar melalui peruntukan yang dikeluarkan bagi membiayai kerja-kerja peningkatan fasiliti pembelajaran mahasiswa seperti Peningkatan ‘Bandwidth Internet sebanyak RM4,400,000.00 (RM2.2 juta@setahun), Peningkatan Kemudahan Rangkaian Internet, Menaiktaraf Kemudahan Komputer Makmal Pelajar, Membeli Perisian Berlesen dan juga bantuan kepada kakitangan dan juga mahasiswa yang memerlukan di bawah program Bantuan Pendemik COVID-19 dan juga Kempen Cloud10.

Sebanyak RM 1,939,285 telah dibelanjakan bagi memberikan Bantuan Zakat kepada mahasiswa yang amat memerlukan (berasal dari keluarga B40 dan beragama Islam) di samping RM12,510.00 bagi memberikan biasiswa kepada pelajar yang memerlukan melalui Dana Wakaf Pendidikan.
Setelah lebih dari dua tahun beroperasi, Dana Wakaf Pendidikan UTM telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah berjaya memperolehi sumbangan lebih dari RM2 juta yang diperolehi melalui potongan gaji staf UTM, sumbangan individu serta sumbangan dari syarikat korporat.

Bagi membolehkan mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan (B40) untuk melanjutkan pengajian ke UTM,  sebanyak RM19,912,369.00 telah dibelanjakan dari Tabung Endowmen yang diwujudkan khusus bagi membantu pelajar dari kategori yang disebutkan ini.
Selaras dengan statusnya sebagai Universiti Penyelidikan (RU), UTM rancak dalam memberikan ruang dalam pengajian pasca-siswazah dengan membuka lebih banyak kouta terhadap pengambilan mahasiswa peringkat Sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD) dan sebanyak RM6,420,000.00 telah diperuntukan untuk pelajar pasca-siswazah. Di samping memberikan penggalakan kepada mahasiswa pasca-siswazah, pelajar pra-siswazah juga mendapat faedah di UTM apabila diberikan pengecualian yuran sebanyak RM155,030.00.

Kesihatan adalah aset yang tidak ternilai dengan wang ringgit walau sebanyak mana yang dimiliki dan berpegang kepada falsafah ini, sebanyak RM20,094.00 telah diperuntukkan bagi membiayai perubatan pelajar Kanser. Peruntukan dan permohonan bagi mendapatkan bantuan ini diletakkan di bawah kelolaan Pusat Islam UTM.
Di atas keprihatinan Tuanku Canselor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah yang mengambil serius mengenai kebajikan mahasiswa tempatan yang menuntut di UTM, maka tertubuhlah tabung kebajikan ‘Because We Care Chancellor’s Fund’.
Tabung kebajikan yang diilhamkan oleh Tuanku Canselor ini berfungsi untuk membantu golongan mahasiswa anak tempatan di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan dalam membeli hidangan makanan tiga kali sehari dan juga barang keperluan asas penjagaan diri seperti berus gigi, sabun mandi dan juga ubat gigi.

Dana dari tabung ini juga boleh digunakan untuk membiayai kos perubatan mahasiswa sekiranya kos rawatan yang dikenakan melebihi dari skop yang ditanggung oleh UTM dan telah diletakkan di bawah kendalian Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk diagihkan kepada semua golongan sasar yang terbabit.

Bidang sukan juga tidak terkecuali dari menerima faedah dalam bentuk imbuhan kewangan apabila pengurusan universiti bersetuju untuk meluluskan sebanyak RM3,000,000.00 bagi tahun 2019 dan 2020 (RM1.5 juta setahun).

Sebagai salah sebuah pusat pengajian tinggi yang bertaraf RU, bidang pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga menerima impak yang positif apabila menerima beberapa inisiatif dalam meningkatkan kualiti aktiviti akademik dan penyelidikan di kampus UTM.
Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran mahasiswa di kampus-kampus UTM, sebanyak RM4,400,000.00 telah diperuntukkan untuk tempoh dua tahun (2019-2020) dengan kadar RM2.2 juta setahun bagi kerja-kerja peningkatan Bandwidth Internet bagi meningkatkan kelajuan pergerakan data internet di samping Peningkatan Kemudahan Rangkaian dengan peruntukan sebanyak RM388,050.00

Kemudahan makmal komputer juga adalah amat kritikal dalam menjayakan pembelajaran dan pengajaran bagi subjek yang berteraskan sains komputer, aplikasi dan juga perisian. Demi memberikan imej universiti berkelas dunia, sebanyak RM 1,033,000.00 telah diperuntukkan dalam menaiktaraf kemudahan makmal komputer ini dengan perolehan komputer (2016-2019) dan juga membina bilik kelas pintar (smart classroom).
Selain kerja naik taraf makmal-makmal komputer pelajar, sebanyak RM650,000.00 diperuntukkan bagi membeli perisian-perisian berlesen yang bakal digunakan bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam subjek-subjek teknologi seperti kejuruteraan dan sains komputer.

Diperkenalkan pada hujung tahun 2019 dan dengan hanya RM10.00 yang disumbangkan melalui potongan gaji bulanan staf UTM, sumbangan Kempen Cloud10 (Crowfunding Campaign) ini digunakan bagi tujuan bantuan kewangan bagi aktiviti kebajikan pelajar (makanan, musibah), dan bantuan kewangan bagi keperluan akademik (peralatan pembelajaran, buku).

Dana ini juga digunakan untuk membiayai Projek “KONGSI REZEKI” iaitu memberikan pelajar makanan, alat tulis dan keperluan penjagaan diri harian secara percuma. Kempen dan juga kutipan bagi Cloud10 ini diuruskan oleh Alumni UTM dan setakat ini sejumlah RM21,464 telah dibelanjakan bagi tujuan seperti yang disebutkan diatas.
Objektif Kempen Cloud10 ini bertujuan untuk membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan kewangan.

Disamping itu, mengambil kira faktor serangan virus COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia, UTM telah melancarkan Tabung Khas Bantuan COVID-19 UTM bagi membantu mahasiswa dan juga staf yang terkesan dengan pandemik diakibatkan oleh virus berbahaya ini.
Dana yang diperolehi dari tabung ini digunakan bagi menyediakan makanan Pelajar kepada seramai 3300 tiga kali sehari selama 14 hari bagi membeli Hand Sanitiser,Topeng Muka, Bantuan Pelajar B40 dan juga Staf yang terkesan. Sebanyak RM1,677,874.00 telah dibelanjakan bagi mencapai maksud yang telah disebutkan di atas.

Kupon makanan percuma yang ditanggung kosnya oleh dana tabungan ‘Because We Care’
Majlis pelancaran dana ‘Because We Care’ pada tahun 2017 diawal pelancarannya oleh Tuanku Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah.

Explore More