April 25, 2024

Search
Close this search box.

Majlis Perasmian Pejabat Unit Dana Wakaf UTM Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2020 – Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan bin Haji Ahmad telah merasmikan Pejabat Unit Dana Wakaf UTM Kuala Lumpur pada pagi ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur), Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin, Pengarah Pejabat Wakaf, Prof. Madya Dr. Ahmad bin Che Yaacob, dan Timbalan Pengarah Unit Dana Wakaf, Ustaz Wan Ali bin Wan Jusoh.

Penyampaian sijil juga telah diadakan semasa majlis tersebut iaitu kepada wakil pewakaf yang terdiri daripada individu, komuniti, staf dan Fakulti.

Prof. Ts. Dr. Hamdan ketika hadir di Pejabat Unit Dana Wakaf UTMKL

UTM Kuala Lumpur telah dilantik sebagai Mutawalli wakaf oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 13 Mac 2019 dan diberi kuasa untuk memungut dan menguruskan harta wakaf.

Dana Wakaf Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (DWP-UTM) yang diusahakan adalah merupakan sebuah program penjanaan dan berlandaskan konsep wakaf am melalui sumbangan dana berbentuk wang tunai dan harta.

Projek Dana Wakaf UTMKL yang terkini adalah bagi melaksanakan Projek Pemasangan Penyaman Udara Berpusat dan Projek Pembinaan Dewan Serbaguna Masjid UTM Kuala Lumpur yang menelan belanja sehingga RM768,000.

Sejak dilantik sebagai Mutawalli oleh MAIWP, jumlah keseluruhan terkini tabung wakaf yang berjaya dikutip oleh Unit Dana Wakaf UTMKL adalah berjumlah RM124,748.66 tidak termasuk kutipan Solat Jumaat selepas majlis pelancaran yang berjumlah RM5,428.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan bin Haji Ahmad dalam ucapannya memberitahu, “Walaupun terdapat beberapa kekangan dalam kutipan Wakaf berpunca daripada kurangnya kesedaran budaya memberi, selain ekosistem yang kurang kondusif dan isu insentif cukai, beliau yakin bahawa wakaf mempunyai potensi yang amat besar di Malaysia khasnya di UTM.

Prof. Ts. Dr. Hamdan semasa menyampaikan ucapan perasmian
Prof. Ts. Dr. Hamdan dan Prof. Dr. Shamsul memotong riben dan disaksikan oleh PM D.r. Ahmad dan Ustaz Wan Ali

Ujarnya lagi, objektif asal penubuhan Wakaf di UTM adalah bagi menyediakan alternatif kepada masyarakat untuk melakukan ibadah wakaf dengan mengenalpasti kaedah yang sesuai untuk melaksanakan pengumpulan dana wakaf dan pengagihannya kepada penerima (Mawquf Alaih) yang layak mengikut hukum syarak.

Selain itu, kewujudan Wakaf di UTM juga dapat menyediakan biasiswa kepada penerima (Mawquf Alaih) terpilih sebagai alternatif kepada skim-skim bantuan kewangan yang sedia ada serta menyediakan dana kepada pihak berkaitan bagi tujuan penyelidikan, konsultansi, pembangunan makmal, penyediaan tesis dan lain-lain.

Explore More