Galeri Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti tersebut, Prof. Sr Dr. Hishamuddin bin Mohd Ali bersama Pengarah KALAM, Ar. Noraslinda binti Abdul Rahman serta Mantan Pengarah KALAM, Professor Madya Dr. Raja Nafida binti Raja Shahminan pada 23 Julai 2020 yang lalu.
Majlis telah dihadiri oleh pengurusan tertinggi, staf akademik, dan staf sokongan FABU. Selain itu, majlis juga diraikan dengan kehadiran pasukan Institute for Smart Infrastructure and Innovative Construction (ISIIC) bersama gabungan Pusat Penyelidikan Construction Research Centre (CRC), Centre for Real Estate Studies (CRES), Forensic Engineering Centre (FEC), dan Centre for Tropical Geoengineering (GEOTROPIK).
Majlis dimeriahkan dengan sesi penyampaian replika cek kepada Dekan Prof. Sr Dr. Hishamuddin Mohd Ali, wakil Pengarah ISIIC Professor Madya Dr. Abdul Rahman Mohd Sam dan Pengarah Senibina Professor Madya Dr. Alice Sabrina Ismail sebagai simbolik menghargai kerjasama di antara semua pihak dalam menjayakan visi dan misi KALAM selama ini.
Khazanah di KALAM ini didokumentasikan bermula tahun 1975 dan telah mula menjadi pusat penyelidikan secara rasmi sejak tahun 1995. Kini, KALAM turut menyediakan perkhidmatan professional, penerbitan, jaringan industri, perundingan serta menganjurkan kursus, seminar, persidangan dan lain-lain perkhidmatan yang memacu kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Galeri yang baru dirasmikan ini juga telah menambahkan fungsi KALAM sebagai pusat rujukan tempatan dan antarabangsa. Galeri KALAM menempatkan khazanah warisan negara yang sangat unik dan harus dipelihara. Ruang galeri ini mempamerkan karya seni bina yang mampu memberi inspirasi kepada pengunjungnya agar dapat menanam sifat cintakan warisan dan budaya Malaysia.
Selain itu, ia juga dapat menjadi medium pendidikan untuk memperkenalkan warisan negara kepada generasi muda kini dan menjadi medan sosial seni iaitu sebagai jambatan penghubung yang mempertemukan masyarakat dari pelbagai lapisan bagi membincangkan kepelbagaian budaya, gagasan, gaya hidup, ideologi dan sebagainya. Galeri ini sangat kaya dengan sejarahnya, sila datang dan kenali budaya anda di Pusat KALAM.