November 22, 2024

Search
Close this search box.

Kunjungan KSU KASA Beri Inspirasi kepada UTM dalam Memartabatkan Polisi SDG

JOHOR BAHRU – Kunjungan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Malaysia, YBhg Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang pada 23 Ogos 2020 telah memberikan impak berterusan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha memartabatkan polisi Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDGs) di peringkat tempatan dan global.

Pengarah Pusat Kelestarian UTM (UTMCS), Prof. Ir Dr. Mohd Fadhil Md Din berkata antara objektif utama lawatan KSU KASA ini adalah bagi meninjau denai sungai dan juga elemen-elemen semula jadi alam sekitar yang ada di UTM. 

“Ini adalah selari dengan projek utama kementerian itu iaitu menjejak denai sungai sepanjang 10,000 km (10,000 km National River Trail) dan UTM adalah antara universiti awam yang mempunyai denai sungai sepanjang 19km.

Selain mempunyai denai sungai yang panjang, UTM juga menurut Dato Zaini mempunyai kelebihan seperti kawasan hijau yang luas, mempunyai banyak unsur-unsur biodiversiti dan juga bilangan pakar-pakar bidang kelestarian sekitar yang ramai,” katanya.

Semasa kunjungan, Dato Seri Dr. Zaini turut berpeluang mengadakan perbincangan khusus mengenai kelestarian alam sekitar dengan pengurusan tertinggi UTM bagi tujuan merangka kertas cadangan untuk Perancangan Strategik KASA bagi tahun 2020-2030.

Kunjungan KSU KASA ini turut membawa simbolik kerjasama yang strategik di peringkat universiti bagi membantu penglibatan pemegang taruh dari pelbagai peringkat agensi kerajaan dan swasta.

Berdasarkan ucapan aluan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, kunjungan KSU KASA yang juga merupakan penyandang Kursi Profesor Pelestarian UTM sejak 2019 adalah selaras dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi memupuk gaya hidup sihat dan membentuk transformasi minda lestari terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Penglibatan Kursi Profesor Pelestarian ini akan membantu meneroka inisiatif tambahan melibatkan cadangan libatsama polisi kebangsaan, kerjasama kumpulan pakar di agensi-agensi kerajaan dan pelaksanaan segera tabung endowmen berasaskan kelestarian di universiti.

UTM sentiasa aktif mempertingkatkan usaha membudayakan gaya hidup lestari melalui kerjasama dengan pelbagai agensi dan juga kumpulan sukarelawan dalam melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan seperti Rakan Sungai Skudai dan juga CSR,” kata Prof. Datuk Wahid.

Menurutnya lagi, UTM merupakan antara Universiti Awam (UA) yang terawal bagi melaksanakan agenda budaya rendah karbon serta menyokong gaya hidup sihat sejak deklarasi kelestarian dilaksanakan pada tahun 2010 yang ketika itu diterjui Dato’ Seri Dr. Zaini sebagai Naib Canselor.

“Antara usaha yang masih diteruskan oleh UTM sehingga kini adalah pembangunan jangka panjang Kampus Rendah Karbon termasuk memperkenalkan kampus tanpa kenderaan menjelang tahun 2022 melalui program pelarasan semula pengangkutan mesra alam serta program pengurangan jejak karbon dalam kawasan kampus.

UTM juga giat meneruskan inisiatif-inisiatif seperti pengurusan sifar sisa pejal kampus menjelang tahun 2021 di samping melakukan perlaksanaan yang konsisten untuk beberapa inisiatif lain seperti indikator Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) di peringkat UTM, polisi dan garis panduan kebangsaan dan antarabangsa berteraskan alam sekitar serta keperluan gaya hidup masyarakat lestari,” katanya lagi.

Universiti ini juga giat dalam mempraktikkan elemen kelestarian merentasi keperluan penyelidikan dan akademik seperti pengenalan Makmal Hidup UTM yang penubuhannya menggalakkan kerjasama kelompok penyelidik, pelajar, staf dan juga komuniti setempat.

Turut hadir semasa kunjungan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durisshah Idrus.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang (lima kiri) bergambar bersama-sama pengurusan tertinggi UTM

 

Dato Seri Ir Dr Zaini Ujang bersama dengan Naib Canselor UTM serta pengurusan tertinggi universiti berjalan kaki meninjau persekitaran UTM.

Explore More