JOHOR BAHRU, 16 Ogos – Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik oleh Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) bagi menjalankan kajian penentuan Jumlah Beban Maksimum Harian atau ‘Total Maximum Daily Load’ (TMDL) bagi Sungai Skudai.
TMDL adalah istilah yang digunakan untuk menentukan had pelepasan maksimum sesuatu beban cemar untuk memastikan kualiti air berada pada tahap yang sesuai.
Felo Kanan IPASA, Prof. Dr Zulkifli Yusop selaku Ketua Projek berkata Sungai Skudai pada masa kini sering mengalami masalah pencemaran yang serius sehingga menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Sultan Ismail.
“Kajian ini sangat penting sebagai langkah awal untuk menentukan punca-punca pencemaran dan langkah seterusnya untuk memulihkan kualiti air Sungai Skudai.
Situasi ini amat membimbangkan kita kerana pada masa yang sama, lembangan Sungai Skudai sedang mengalami pembangunan yang pesat dan ini menyebabkan pihak berkuasa menghadapi cabaran yang hebat dalam aspek pengurusan kualiti sungai,” katanya.
Antara penyumbang utama pencemar punca titik ialah sisa buangan dari loji rawatan kumbahan, sisa industri dari kilang-kilang dan kumbahan dari restoran serta pasar atau dipanggil “sullage”.
Punca pencemar bukan titik pula dikaitkan dengan aktiviti guna tanah yang menghasilkan pepejal terampai, nutrien, minyak dan gris serta logam berat dari tapak pembinaan, ladang, tapak pelupusan dan rangkaian jalan raya.
“Secara umum objektif kajian ini adalah untuk menentukan TMDL bahan cemar tertentu sebagai maklumat asas untuk merangka strategi pemulihan kualiti air Sungai Skudai.
“Kajian ini akan melibatkan pengambilan contoh air sungai semasa hari panas dan hujan, penyediaan pelantar data menggunakan GIS, pemodelan hidrologi dan hidaulik serta pemodelan kualiti air,” katanya.
Menurut Prof. Zulkifli, kajian ini akan menjawab beberapa persoalan penting berkaitan kuantiti bahan cemar yang perlu dikurangkan untuk mencapai tahap kualiti air yang dikehendaki.
Selain itu punca-punca pencemaran sama ada dari punca titik dan bukan titik juga akan dikenalpasti bagi memudahkan pihak berkuasa terutama BAKAJ melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan.
Projek bernilai RM 480,000.00 ini akan dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan (Ogos 2020 – Mac 2021) dan diketuai oleh Prof. Zulkifli Yusop selaku Felo Kanan IPASA serta dibantu oleh Prof. Azmi Aris, Dr. Maketab Mohamed, Prof. Madya Mohamad Nor Said, Dr. Salmiati Yunus, Dr. Nur Shamimi Zaidi, Dr. Nor Eliza Alias, Dr. Mohd Ridza Mohd Hanafiah dan Dr. Erwan Hafizi Kasiman.
Projek kajian pencemaran Sungai Skudai ini juga akan melantik enam orang Pembantu Penyelidik di kalangan mahasiswa UTM dan juga menggunapakai khidmat empat orang pelajar Latihan Industri (LI).