April 19, 2024

Search
Close this search box.

Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) pada 6 Ogos 2020 untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang menyediakan polisi untuk transformasi sektor air di Malaysia.

Projek Transformasi Sektor Air atau Water Transformation Policy (WTP) adalah insiatif di bawah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan peruntukkan berjumlah RM8.6 Juta oleh kerajaan. Di bawah kertas strategi EPU ini, transformasi sektor air akan berlangsung daripada Rancangan Malaysia ke-12 sehingga Rancangan Malaysia ke-15 iaitu dari tahun 2021 – 2025.

Timbalan Pengarah IPASA UTM, Prof. Dr. Zainura Zainon Noor berkata objektif strategi ini ialah untuk melaksanakan Pengurusan Sumber Air Bersepadu atau ‘Integrated Water Resources Management’ (IWRM) demi memacu inovasi teknologi air, mencapai skala ekonomi dan menjadi pusat air serantau.

“Beberapa pasukan yang terdiri daripada pelbagai organisasi di Malaysia yang diketuai oleh felo-felo Akademi Sains Malaysia (ASM) termasuk dari IPASA UTM telah dilantik untuk melaksanakan inisiatif di peringkat nasional ini.

Pihak IPASA diberi tanggungjawab untuk melaksanakan inisiatif Virtual Water (VW) dan Water Footprint (WF) dalam polisi transformasi sektor air ini. Bagi memastikan projek ini mencapai sasaran objektif yang telah ditetapkan, peruntukkan sejumlah RM868, 000.00 telah diberi kepada pihak IPASA UTM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menghadiri perasmian bagi program Majlis Pelancaran Kajian Pembangunan Roadmap Transformasi Sektor Air Negara 2040 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dan juga Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur.

Menurut Prof. Zainura lagi, IPASA UTM kelak akan mengendalikan projek yang berupaya memacu satu inovasi negara yang memfokuskan kepada kaedah untuk menentukan kuantiti air yang di eksport melalui komoditi, produk dan perkhidmatan.

“Selain itu, projek ini juga akan dapat menentukan kesan kepada alam sekitar dari perspektif penggunaan air terhadap produk- produk yang menjadi komoditi utama negara disamping memberi sumbangan kepada sektor ekonomi negara melalui kaedah pengurusan air dalam ekonomi berstrategi yang menjadikan sektor air adalah sebahagian sektor utama ekonomi Malaysia,”katanya.

Beberapa sektor ekonomi penting negara akan menjadi kajian kes di bawah strategi VF dan WF ini termasuk padi, kelapa sawit, getah, pembuatan, semi- konduktor dan sektor servis perhotelan.

IPASA UTM akan diketuai oleh Prof. Dr. Zulkifli Yusop yang juga merupakan felo ASM bersama ahli- ahli dari pelbagai bidang kepakaran iaitu Prof. Dr. Zainura Zainon Noor (Kejuruteraan Kimia & WF) yang juga ahli bersekutu ASM, Prof. Dr. Fadhilah Yusof (Statistik) dan Dr. Muhammad Najib Razali (Ekonomi).

Barisan mantap dari IPASA UTM ini juga turut akan dibantu oleh pakar analisis dari pelbagai bidang  iaitu Siti Nurhayati Kamarudin (Kejuruteraan Alam Sekitar) , Noor Salehan Mohammad Sabli (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar) , Nurliyana Mahpof (Teknologi) dan Nurul Hana Mohamed (Matematik Industri) bagi menjayakan lagi projek ini.

Majlis Pelancaran Kajian Pembangunan Roadmap Transformasi Air Negara oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektorial), Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Encik Azhar Noraini.
Pasukan dari IPASA UTM yang akan terlibat dalam menyediakan polisi untuk transformasi sektor air di Malaysia.

Explore More