Tanggungjawap menghantar pulang mahasiswa ke kampung halaman masing-masing bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil mudah lebih-lebih lagi ketika musim pandemik yang diakibatkan oleh virus yang pertama kali wujud dalam kehidupan manusia sejagat iaitu COVID-19.
Keputusan yang diambil oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk menghantar pulang seramai 50,000 orang pelajar yang bermula akhir April 2020 adalah satu keputusan yang amat penting dalam sejarah negara ini setelah menjalankan ‘pungutan suara’ dari mahasiswa yang terkandas dalam kampus sepanjang cuti khas COVID-19.
Bagi menjayakan agenda besar yang pertama kali dilaksanakan dalam sejarah ini, KPTM telah membuat pemecahan sebanyak tujuh buah zon dengan tujuh buah Universiti Awam (UA) telah dipilih bagi menyelaras penghantaran pulang mahasiswa mengikut negeri-negeri di zon masing-masing.
Timbalan Ketua Penyelaras bagi Program Ops Hantar Pelajar Pulang 2020 bagi Zon Selatan, Hj Dahari Derani berkata bagi penghantaran mahasiswa yang menuntut di Zon Selatan telah dipertanggungjawapkan kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan diletakkan di bawah tanggungjawap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Durrishah Idrus yang dilantik sebagai Pengerusinya.
Hj Dahari yang ditemui di pejabatnya berkata bahawa proses penghantaran pulang pelajar yang dilakukan atas arahan KPTM ini adalah yang terbesar pernah dilakukan universiti itu dalam sejarah penubuhannya.
Seramai 8,193 orang mahasiswa dari seluruh negara yang menuntut di universiti awam dan swasta zon selatan telah dihantar pulang dengan jayanya oleh UTM. Dari jumlah ini, seramai 1,833 orang adalah mahasiswa UTM yang tinggal di serata Semenanjung Malaysia manakala seramai 1,307 orang telah dihantar ke Sabah dan 1,104 pula dapat pulang ke Sarawak dengan jayanya.
Untuk rekod juga, mahasiswa Se-Malaysia yang menuntut di Zon Selatan di mana UTM dipertanggungjawapkan untuk menguruskan penghantaran pulang ini menuntut di 15 Universiti Awam, 41 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Lapan Politeknik dan 20 Kolej Komuniti yang berada dalam negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Dalam melaksanakan misi sebesar ini, seramai 53 orang Pegawai Perhubungan (Liason Officer) telah dilantik bagi mengiringi perjalanan pulang ke semua zon yang telah ditetapkan di samping 533 buah bas, 37 buah van dan juga 10 buah kereta telah digunakan dalam menjayakan agenda ini.
Di samping penggunaan aset secara besar-besaran, UTM juga telah mengeluarkan perbelanjaan operasi sebanyak RM 1,598,916.37. Jumlah sebesar ini dalam bahasa mudahnya patut dipuji kerana sanggup dikeluarkan oleh sesebuah universiti yang mendapat geran dalam jumlah yang agak kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya dari kerajaan.

UTM telah mengeluarkan jumlah pelaburan yang besar (RM 1.6 juta) dalam keadaan geran mengurus yang terhad dan mungkin boleh dihalakan untuk kegunaan lain bertepatan dengan status institusi itu sebagai salah satu Universiti Penyelidikan (RU) terunggul negara. Ini menunjukkan sikap prihatin universiti dalam memastikan kebajikan pelajar diberi perhatian utama.

Dalam melaksanakan misi penting ini, UTM juga turut mendapat sokongan dan bantuan teknikal dari pelbagai agensi luar seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines).

Pengamalan duduk berjarak 1 meter antara penumpang diamalkan dengan baik oleh UTM ketika menghantar pulang mahasiswa dari Zon Selatan

Para mahasiswa yang terlibat dalam program penghantaran pulang mendaftar untuk menjalani proses sanitasi sebelum dibenarkan menaiki bas yang disediakan.

Mahasiswa menunggu giliran untuk proses sanitasi sebelum dibenarkan menaiki bas.


Ibu bapa atau penjaga yang mengambil pelajar dikehendaki menandatangani borang penyerahan oleh LO sebagai bukti penerimaan pelajar