November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 23 Jun – Satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan NI Malaysia Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar instrumen elektrik di Pulau Pinang bagi membolehkan kerjasama permodenan pengajaran dan pembelajaran selari dengan revolusi industri.

Majlis menandatangani memorandum itu telah disempurnakan secara dalam talian oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Ts. Dr Zainuddin Abd. Manan yang menandatangani bagi pihak UTM manakala NI Malaysia pula diwakili oleh Naib Presiden Asia Pasifiknya, Rajesh Purushothaman.

Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoA berkenaan adalah Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir, Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Elektrik (SKE), Prof. Ir. Dr. Mohd Wazir Mustafa dan Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kanan NI, Azian Wahab.

Prof. Zainuddin berkata bahawa melalui MoA ini, NI Malaysia akan membekalkan makmal kejuruteraan SKE di UTM Johor Bahru dengan peralatan dan perisian sistem terbenam (embedded system) yang terkini manakala UTM pula akan menyediakan prasarana dan tenaga kerja yang berkelayakan untuk mengendalikan peralatan dan perisian ini.

Projek ini diketuai oleh Prof Madya Dr Eileen Su Lee Ming dan dianggotai oleh Prof Madya Dr Shaikh Nasir bin Shaikh Husin, Prof Madya Dr Leow Pei Ling dan Dr. Anita Ahmad.

“Sebanyak 30 set sistem NI myRIO, dua set NI ELVIS dan lesen akademik LABVIEW akan disumbangkan oleh NI kepada SKE bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta latihan kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik di UTM.

Makmal yang dilengkapi dengan peralatan teknologi dan instrumentasi maya ini akan menjadi pusat pembelajaran kejuruteraan alaf baharu serta dapat berfungsi sebagai pusat latihan tercanggih sekaligus berkeupayaan melahirkan lebih ramai graduan yang dapat memenuhi keperluan terkini industri tempatan,” katanya.

Selain melahirkan graduan yang mendapat pendedahan terkini tentang keperluan semasa industri negara, makmal ini juga dijangka dapat berperanan sebagai pusat penyediaan latihan teknikal serta kursus pendek untuk UTM dan pihak industri luar.

Kedua-dua pihak menunjukkan dokumen MoA yang telah selesai ditandatangani secara serentak dari dua lokasi berbeza
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Ir. Dr. Ts. Dr Zainuddin Abd. Manan (dua kiri) menunjukkan dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani antara UTM dan NI Malaysia di Bilik Mesyuarat Utama UTM, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim pagi tadi. Hadir untuk menyaksikan ialah Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir dan Pengerusi SKE UTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Wazir Mustafa.
Naib Presiden Asia Pasifik NI Malaysia Sdn Bhd, Rajesh Purushothaman memberikan ucapan alu-aluan di sidang video dari pejabatnya di Pulau Pinang sebelum berlangsungnya majlis menandatangani MoA UTM- NI Malaysia pagi tadi.

 

 

 

 

 

 

 

Explore More