April 20, 2024

Search
Close this search box.

BANGI, 10 Jun – Syarikat hiliran dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DF Automation & Robotics Sdn Bhd dengan kerjasama Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah sekali lagi melaksanakan kolaborasi strategik membangunkan Pak Salleh, sebuah Robot Pembasmian Penyemburan Otomatik bagi melaksanakan kerja penyemburan bahan pembersih.

Pak Salleh adalah kejayaan yang menyusul selepas kejayaan kolaborasi strategik membangunkan robot penghantaran Mak Cik Kiah 19 dan Dol-E.

Selain HCTM, UTM juga bekerjasama rapat dengan beberapa agensi lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Megajadi Hygiene Solutions Sdn Bhd.

Pengasas bersama DF yang merupakan ketua projek, Prof. Madya Dr Yeong Che Fai berkata penggunaan robot ini dapat membantu dalam melaksanakan kerja pembasmian kuman secara berterusan (24 jam) serta mengurangkan risiko jangkitan kepada pekerja manusia.

“Dengan hanya sekali caj sahaj, Pak Salleh yang tidak perlu dipakaikan dengan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) yang amat terhad stoknya ini mampu melaksanakan kerja pembasmian kuman selama dua jam secara automatik di kawasan seluas 6000 kaki persegi.

“Pak Salleh berkeupayaan untuk membawa muatan sehingga 300 kg selain dilengkapi dengan mesin pengeluaran kabus yang mampu menyebarkan 20 zarah mikron hingga sembilan kaki atas tanah,” katanya lagi.

Menurut Dr. Yeong, ukuran zarah kecil ini akan tetap berada di udara bagi membasmi sebarang mikroorganisma yang terbang sebelum perlahan-lahan jatuh ke bumi bagi menghapuskan mikroorganisma yang berada di permukaan pula.

“Buat masa ini, Pak Salleh telah ditempatkan di Aras Dua, Bangunan Fakulti Perubatan HCTM dan diprogramkan untuk melakukan pembasmian kuman secara automatik dengan kadar tiga kali setiap hari pada jam 12 tengahari, 6 pagi dan 6 petang.

“Selama 14 hari ini juga, sebanyak 12 liter larutan disinfektan telah digunakan Pak Salleh dengan jarak disenfeksi yang telah dilakukan mencecah 10,752 meter,” katanya lagi.
Dr. Yeong berkata penggunaan Pak Salleh ini juga menunjukkan hasil ujian makmal awal Unit Kawalan Pembasmian Kuman yang memuaskan tetapi menegaskan lebih banyak ujian yang perlu dijalankan bagi memastikan keberkesanan yang memuaskan.

“Saya amat yakin bahawa negara ini mempunyai kepakaran dan bakat untuk merancang dan mengembangkan teknologi Kecerdikan Buatan (AI) ini. Bakat ini perlu dipergunakan sebaiknya dalam menemukan penyelesaian berkaitan penularan virus COVID-19 ini.

“Saya benar-benar ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama membawa kepakaran masing-masing yang berbeza bagi menjayakan projek ini,” katanya.

Antara bidang kepakaran yang disumbangkan adalah robotik dan teknologi, ujian makmal, operasi hospital dan kaedah pembasmian kuman.

Pengarah Hospital Canselor Tuanku (HCTM) UKM, Prof. Dato Dr Hanafiah Harunarashid berpendapat bahawa robot pembasmian kuman seperti Pak Salleh bakal mengukir sejarah unik kerana menyumbang dalam mengurangkan risiko jangkitan kepada manusia di samping menyediakan ruang kerja yang lebih selamat dan juga mengurangkan beban penggunaan tenaga kerja manusia yang ramai.

“Saya amat gembira dengan kerjasama pelbagai pihak yang ditunjukkan ini sekaligus menunjukkan penggabungan pelbagai kepakaran dari sektor-sektor yang berlainan kearah penyelesaian masalah yang cepat dan berkesan.

“Kerjasama silang kepakaran seperti ini haruslah diperkasakan dari semasa ke semasa bagi mengembangkan lebih banyak teknologi di negara ini,” katanya lagi.
Pengurus Pembangunan Perniagaan DF Automation, Chia Chin Wee juga tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama kepada kakitangan HCTM yang banyak membantu dalam percubaan, memberikan maklum balas dan melakukan validasi prestasi robot itu.

“Tidak dapat dinafikan banyak bantuan yang telah dihulurkan oleh kakitangan HCTM dalam menjayakan projek ini. Tanpa sokongan mereka saya tidak yakin akan kejayaan projek ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar pula berkata ciptaan tersebut adalah salah satu daripada usaha UTM dalam membantu menangani penularan wabak Covid-19, selari dengan misi ‘UTM Mensejahterakan Kehidupan’.

“Sebagai sebuah universiti yang dilengkapi dengan pelbagai kepakaran, ianya merupakan sebuah tanggungjawab bagi UTM untuk membantu kerajaan terutamanya petugas barisan hadapan yang kini bertungkus-lumus berkhidmat demi rakyat dan negara.

Oleh itu melalui kolaborasi ini, diharap bersama-sama kita akan berjaya memutuskan rantaian Covid-19,” tambah beliau.

Pak Salleh adalah prototaip jenis alpha yang akan diuji di HCTM untuk jangka masa tertentu. Unit komersil dijangka akan siap dikeluarkan dalam beberapa bulan lagi oleh DF Automation.

Memasukkan program/arahan pekerjaan kepada ‘Pak Salleh’ di HCTM Bangi.
Pengurus Pembangunan Perniagaan DF Automation, Chia Chin Wee memasukkan cecair disinfeksi ke dalam tangki simpanan Pak Salleh bagi membolehkan robot ini memulakan tugasnya sebagai mesin membersih kuman di HCTM Bangi.
Pak Salleh berkeupayaan untuk membawa muatan sehingga 300 kg cecair pembersih bagi tujuan melakukan kerja disinfeksi di bangunan pejabat dan wad HCTM Bangi.
Pak Salleh sedang menjalankan kerja disinfeksi di sekitar wad HCTM Bangi.
Dari kiri, Pengarah Hospital Canselor Tuanku (HCTM) UKM, Prof. Dato Dr Hanafiah Harunarashid, Ketua Unit Bioperubatan Siti Farah Md. Noor dan Pengurus Pembangunan Perniagaan DF Automation, Chia Chin Wee.

Explore More