Sebagai salah seorang pemandu bas yang ditugaskan untuk menghantar para pelajar pulang ke kampung ketika pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini pastinya menjadi satu pengalaman berharga yang tidak akan dapat dilupakan buat pemandu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Hussin Sulaiman.
Walaupun wujud kebimbangan terhadap wabak COVID-19, beliau tetap menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan dan pada masa yang sama sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang proses penghantaran berjalan.
Menurut beliau lagi, ada banyak perkara yang perlu dirisaukan dan sentiasa berhati-hati ketika bertugas kerana Malaysia sekarang sedang berdepan dengan wabak Covid-19.
“Kita juga ada keluarga di rumah, jadi kita patuh kepada segala SOP yang telah ditetapkan sepanjang perjalankan demi keselamatan semua yang terlibat.
“Nak kata susah tidak seronok pun tidak, tetapi ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan untuk menghantar para pelajar pulang dan pastinya saya berasa gembira dapat membantu menghantar mereka pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Kami telah diberi talimat berkaitan SOP dan prosedur berkaitan sebelum bertolak selain turut menjalani saringan kesihatan. Selain itu pihak bomba juga telah menjalankan proses nyah cemar ke atas bas yang akan digunakan.
Ini sekaligus memberkan kami keyakinan untuk bertugas menghantar para pelajar ini pulang”, katanya lagi.
Sementara itu, Abd Rahim bin Mohd Nor yang juga seorang pemandu yang ditugaskan menghantar pelajar pulang, melahirkan rasa bersyukur kerana proses penghantaran pelajar pulang berjalan dengan lancar dan selamat.
Katanya, selain sentiasa mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan, beliau juga sentiasa memastikan bas berada dalam keadaan yang baik agar perjalanan pergi dan pulang berjalan dengan lancar.
“Prosedur yang agak ketat dan memakan masa yang panjang sebelum pelajar menaiki bas, semasa dalam bas dan selepas turun dari bas serta ketika perjalanan pulang memerlukan kesabaran yang tinggi dari semua pihak tidak kira pemandu atau petugas lain.
Ini merupakan pengalaman baru bagi saya di mana pelbagai SOP perlu dipatuhi dan kita paham dalam keadaan sekarang ini merupakan sesuatu yang perlu,” katanya lagi.