Projek kerjasama bersama IRDA, Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor dan Bahagian Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mara selangkah lagi dalam membantu negara memerangi gejala pandemik COVID-19.

Terbaharu, sebuah aplikasi telefon pintar bagi mengawal penjarakan sosial telah berjaya dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan UTM.

Aplikasi yang dinamakan sebagai ‘Jejak Johor’ ini dibangunkan melalui syarikat hiliran UTM, Synapse Innovation Sdn. Bhd.

Ia juga dibangunkan sebagai manifestasi sokongan universiti kepada usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak penyakit berbahaya yang diakibatkan oleh virus COVID-19.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Synapse Innovation Sdn Bhd, Dr Afnizanfaizal Abdullah berkata projek ini dirintis melalui kerjasama Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Johor dan Bahagian Sains, Teknologi dan ICT Negeri Johor.

“Berbeza dengan aplikasi-aplikasi yang telah dibangunkan sebelum ini, Jejak Johor ini akan merekod setiap lokasi yang dikunjungi oleh penggunanya dan sekiranya individu berkenaan tidak mengamalkan jarak satu meter seperti yang telah ditetapkan, lokasi yang dikunjunginya akan terus direkodkan.

Jika pengguna aplikasi ini dijangkiti virus COVID-19, rekod yang disimpan boleh membantu pihak berwajib untuk mengesan individu-individu yang ditemui (kontak) oleh pengguna aplikasi tersebut,” kata beliau.

Ini boleh membantu pihak berwajib mengesan individu-individu lain yang berhubung rapat dengan pesakit dan seterusnya memberikan peluang untuk pegawai kesihatan merawat mereka jika disahkan positif jangkitan virus COVID-19.

“Menyedari keperluan rekod untuk memasuki premis-premis perniagaan, aplikasi ini juga boleh digunakan untuk menggantikan kaedah konvensional yang memerlukan pengguna untuk menulis rekod kehadiran di premis-premis tersebut.

“Ini bagi memudahkan pegawai kesihatan untuk mengesan kontak-kontak yang ada di sekitar premis berkenaan sekiranya salah seorang pengunjung disahkan positif COVID-19,” katanya.

Bagi penggunaan pada masa hadapan, projek ini dijangka akan diteruskan untuk memanfaatkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan Analitik Data Gadang (Big Data Analytics).

Dr Afnizanfaizal Abdullah, pensyarah kanan dan ketua penyelidikan projek aplikasi Jejak Johor.

Menurut Dr. Afnizanfaizal yang juga pensyarah kanan bidang Sains Komputer di UTM, penggunaan aplikasi ini dapat menyumbang kepada pengumpulan data yang sangat berguna bagi menganalisis kadar penyebaran wabak ini.

“Setiap data yang diperolehi akan dianalisis oleh pihak berwajib dan dijadikan panduan bagi memutuskan langkah-langkah yang seterusnya bagi mengawal wabak ini,” katanya.

Aplikasi Jejak Johor kini boleh dimuat turun di Google Play bagi pengguna-pengguna Android manakala bakal menemui pengguna-pengguna Apple iOS melalui AppStore pada masa terdekat.

Maklumat lanjut berkaitan aplikasi boleh didapati di laman web IRDA http://iskandarmalaysia.com.my/jejak-johor dan portal rasmi Kerajaan Negeri Johor https://www.johor.gov.my/jejak-johor.

‘Interface’ aplikasi Jejak Johor yang dibangunkan oleh Dr. Afnizanfaizal Abdullah dan kumpulannya.

Pelancaran aplikasi Jejak Johor oleh YAB Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad secara tertutup di pejabat Menteri Besar Johor pada 21 Mei 2020 lalu.