April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (MPPUTM) memainkan peranan yang signifikan dalam membantu UTM melaksanakan penghantaran pulang pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari Zon Selatan ke seluruh Malaysia.

Peranan ini amat ketara sekali apabila MPPUTM diberikan tanggungjawab untuk menyiapkan pengkalan data bagi semua mahasiswa IPT yang bertempat di Zon Selatan yang mencecah sehingga 7,648 orang.

Yang DiPertua (YDP) MPPUTM, Ahmad Muzammil Zulkiffli berkata pihaknya telah diberikan tugasan berkenaan bagi kegunaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan juga pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan penghantaran pulang pelajar ini.

“Bagi penghantaran pulang pelajar ke Zon Tengah ini, pihak kami mengambil inisiatif membuat panggilan secara terus kepada seramai 371 orang pelajar untuk memastikan mereka ada di kolej kediaman masing-masing dan tidak pulang dengan kenderaan sendiri.

Tugas ini tidak mudah kerana kumpulan Zon Tengah yang dihantar pulang kali ini melibatkan sebanyak tujuh buah IPT serta destinasi penghantaran ke 19 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Selain membantu menyediakan pangkalan data maklumat pelajar yang terlibat dihantar pulang mengikut zon yang telah ditetapan, pihaknya juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan para pelajar yang memilih untuk pulang dengan kenderaan sendiri.

“Bagi yang memilih untuk pulang dengan kenderaan sendiri pula, kami mengaturkan pemerikasaan kesihatan bagi mereka di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum ke peringkat seterusnya iaitu pengeluaran surat kebenaran pulang oleh UTM.

Surat kebenaran untuk pulang hanya dikeluarkan jika suhu badan mereka berada di bawah paras 37 darjah celcius.

Sekiranya suhu badan yang direkodkan adalah tinggi atau mempunyai beberapa simptom lain seperti batuk, demam dan juga selsema maka pelajar itu akan terus dirujuk di hospital dan tidak dibenarkan pulang,” katanya lagi.

“Dalam kesibukan urusan penghantaran pulang ini, ramai yang terlepas pandang bahawa masih terdapat pelajar UTM yang tinggal di luar kampus.

Di sinilah letaknya tanggungjawab kami yang ketiga iaitu menguruskan pelajar yang tinggal di luar kampus untuk menyertai program penghantaran pulang bersama-sama dengan rakan mereka yang tinggal di kolej-kolej kediaman,” katanya.

Pelajar yang tinggal di luar kampus ini akan menerima panggilan telefon meminta mereka untuk menunggu di Pejabat Alumni UTM dan seterusnya ke Dataran UTM untuk menyertai rakan-rakan mereka yang lain.

“Semasa di dataran, pelajar luar kampus ini juga akan menerima surat kebenaran sebagaimana rakan-rakan lain dan pemberian surat ini tertakhluk kepada bacaan suhu badan dan juga keadaan kesihatan semasa.

Setiap barangan yang dibawa pelajar termasuk beg pakaian akan melalui proses sanitasi yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum pelajar dibenarkan untuk menaiki bas,” katanya lagi.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr Durrishah Idrus berkata bahawa penghantaran pulang kumpulan mahasiswa ke seluruh Malaysia kali ini diyakini tidak akan membawa masalah penularan wabak COVID-19 kepada ahli keluarga dan komuniti sekitaran.

“Sebelum dihantar pulang mereka telah pun tinggal di dalam kampus lebih dari 14 hari dan tidak menunjukkan simtom-simtom jangkitan COVID-19 sepertimana yang diuar-uarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka yang pulang ini juga masih diwajibkan untuk terus mengikuti pengajian masing-masing menerusi sidang video yang telah pun bermula pada fasa awal PKP lagi.

Kami di UTM telah pun bersedia dengan keadaan ini dan tidak melihatnya sebagai satu masalah yang besar,” katanya ketika menjawap soalan HEK di dataran universiti ini semalam.

Prof. Durrishah yang juga dilantik sebagai Ketua Task Force Penghantaran Pulang Pelajar IPT bagi Zon Selatan berkata seramai 7,648 orang penuntut IPT yang berada di zon ini akan dihantar pulang secara berperingkat mulai dari 30 April 2020 dengan melibatkan lima zon utama di seluruh Malaysia mengikut negeri tempat tinggal pelajar berkenaan.

“Penghantaran bagi Zon Selatan iaitu bagi negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan telah berlangsung pada 30 April 2020 yang lalu diikuti Zon Tengah 1 (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) pada malam ini (4 Mei 2020).

Bagi zon berikutnya adalah penghantaran ke Zon Timur yang melibatkan pelajar yang tinggal di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 7 Mei serta Zon Tengah 2 untuk negeri Perak pada 8 Mei diakhiri oleh Zon Utara (Pulau Pinang dan Kedah) yang akan berangkat pada 10 Mei 2020,” katanya lagi.

Pelajar dari Zon Tengah 1 yang ingin pulang menunggu giliran masing-masing di bawah khemah yang disediakan.
Barangan peribadi pelajar yang disanitasi oleh JBPM sebelum boleh menaiki bas.
Pelajar melalui saringan kesihatan sebelum proses sanitasi barangan.
Barisan bas-bas yang terlibat bagi penghantaran pulang pelajar ke Zon Tengah 1 dari Zon Selatan
Prof Durrishah (berbaju putih) melambai kepada pelajar Zon Tengah 1 yang sedang bergerak pulang meninggalkan kampus UTM.

Explore More