JOHOR BAHRU, 3 Mei 2020 – Seramai 51 orang Pegawai Perhubungan atau ‘Liaison Officer’(LO) yang terdiri dari kakitangan pelbagai lapisan gred dan jawatan telah dilantik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjayakan Penghantaran Pulang Pelajar IPT Zon Selatan ini.

Penyelaras Program Penghantaran Pulang pelajar UTM, Mohd Iskandar Ishak berkata dalam memastikan kelancaran program ini, UTM perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Salah satu garis panduan yang diberikan adalah setiap perkhidmatan pengangkutan mestilah diiringi oleh seorang Pegawai Perhubungan (Liaison Officer) atau LO bagi mengiringi serta membuat laporan mengenai sesuatu penghantaran itu.

LO berfungsi sebagai pegawai pengiring yang turut serta menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing dengan selamat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh KPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) melalui telefon semalam.

Menurutnya lagi, bidang tugas LO ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu sebelum, semasa dan juga selepas perjalanan menghantar pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Sebelum perjalanan bermula, seorang LO itu bertanggungjawap memberikan taklimat perjalanan kepada pelajar dan meminta supaya surat kebenaran pulang yang dikeluarkan oleh universiti masing-masing diambil gambarnya dan dihantar melalui aplikasi whatsapp kepada ibu bapa masing-masing.

Ini bagi membolehkan gambar surat itu digunakan bagi digunakan sebagai kebenaran bergerak bagi para ibu-bapa atau penjaga masing-masing dalam merentasi sekatan jalanraya yang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya.

LO juga dikehendaki untuk mengambil senarai lengkap nama penumpang serta nama ibubapa, alamat dan juga nombor telefon untuk dihubungi di samping memastikan setiap seorang pelajar yang menaiki bas memakai topeng muka serta mempraktikkan kaedah penjarakan sosial dalam bas.

Fungsi LO semasa dalam perjalanan pula adalah memastikan penumpang sentiasa berada dalam bas dalam keadaan selamatnya dan juga bilangan penumpang sama seperti yang tertera dalam senarai yang dipegangnya.

“Ini termasuklah membuat ‘kiraan kepala’ bagi setiap penumpang yang turun untuk ke tandas dan memastikan jumlah yang sama naik semula dalam bas sebelum bertolak meneruskan perjalanan,” katanya lagi.

Mengikut SOP yang dikeluarkan oleh KPT, bas UTM dan juga IPT masing-masing hanya bertanggungjawap menghantar pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) ataupun Pejabat Daerah masing-masing sahaja.

Setengah jam sebelum tiba ke IPD ataupun Pejabat Daerah masing-masing, LO bertanggungjawap untuk menghubungi IPD berkenaan bagi membuat persiapan menerima ketibaan bas.

LO juga dikehendaki untuk menyemak senarai nama penumpang dan melaporkan mengenai ketibaan itu di Bilik Gerakan UTM dan juga Bilik Gerakan KPT bagi tindakan lanjut kedua-dua bilik gerakan ini.

Bagi yang dijemput pulang oleh ibubapa, LO hendaklah memastikan bahawa borang khas penerimaan pelajar ditandatangani oleh ibubapa pelajar yang berkenaan manakala bagi yang tidak dijemput pula akan dihantar oleh kenderaan polis ke rumah masing-masing.

“Setelah selesai pergerakan pulang semua pelajar, LO mestilah mengemaskini maklumat kepulangan pelajar secara ‘real time’ bagi kegunaan bilik gerakan UTM, KPT dan juga IPD berkenaan.

“Sebelum bergerak keluar dari IPD atau Pejabat Daerah yang berkenaan, LO haruslah memastikan bahawa bas berkenaan melalui proses nyahkuman yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah berkenaan,” katanya.

Apabila bas berkenaan tiba di UTM, LO sekali lagi perlu memikul tanggungjawap bagi memastikan proses nyahkumah kali ketiga dilakukan oleh JBPM sebelum memulangkan bas itu ke Pejabat Harta Bina (PHB).

Pejabat Hal Ehwal Korporat (HEK) juga berkesempatan mewawancara dua orang LO yang telah pun menjayakan agenda penghantaran pulang pelajar Zon Selatan ini dan mereka ini adalah Md. Yani Kasiren dan Mohamed Nur Idris.

Md. Yani berkata tanggungjawab LO ini adalah berat kerana tugas mereka memastikan pelajar mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh KPT dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya telah mengiringi seramai tujuh orang pelajar UTM ke IPD Jempol pada 30 April yang lepas dan mengakui tugas ini bukanlah semudah yang disangka.

Sebagai LO, kami perlu sentiasa bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan yang terjadi dan bertindak pantas sekiranya berlaku perkara di luar jangka kerana ini melibatkan nama baik UTM dan juga KPT,” katanya.

Menurutnya lagi apabila tiba di IPD Jempol, beliau telah menghubungi pihak yang berkenaan di situ dan pihak polis telah bersedia dengan persediaan yang secukupnya untuk menerima ketibaan rombongannya.

“Kesemua urusan penyerahan pelajar kepada ibubapa dan juga penjaga masing-masing diperhatikan dengan ketat oleh pihak polis agar tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Bagi pelajar yang dijemput oleh ibubapa masing-masing, satu borang serah terima khas haruslah ditandatangani sebagai tanda menerima anak masing-masing dengan selamat. Untuk yang tidak dijemput, pelajar akan dihantar ke rumah oleh kenderaan polis,” katanya lagi.

Rakannya Mohamed Nur Idris pula berpendapat LO mestilah sentiasa peka kepada peraturan yang telah dikeluarkan oleh KPT.

“Kami haruslah memastikan bahawa kapasiti penumpang yang dibawa adalah separuh dari yang sebenarnya dan juga setiap penumpang mahasiswa memakai topeng muka serta mempraktikkan penjarakkan sosial.

“Bahagian yang paling kritikal adalah penyerahan pelajar dimana LO perlu memastikan borang khas serah-terima pelajar ditandatangani oleh ibubapa semasa mengambil pelajar di kawasan IPD berkenaan,” katanya lagi.

Mohamed Nur yang mengiringi seramai 13 orang mahasiswa ke IPD Batu Pahat telah dimaklumkan bahawa terdapat sedikit masalah yang tidak membolehkan bas menurunkan penumpang di situ dan memindahkan lokasi ke Pejabat Daerah Batu Pahat.

“Syukur ke hadrat Allah swt kerana tugas kami telah dipermudahkan oleh Pejabat Daerah Batu Pahat kerana di samping menjadi pengganti kepada IPD Batu Pahat sebagai tempat menurunkan penumpang, pihak pejabat daerah telah membuat panggilan kepada JBPM untuk menjalankan proses nyahkuman sebaik sahaja semua penumpang diturunkan,” katanya.

Penghantaran pulang mahasiswa universiti ke kampung halaman masing-masing oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah pun dimulakan secara berperingkat mulai 27 April 2020.

Bagi merealisasikan objektif ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diberikan peranan untuk memantau pergerakan pulang pelajar universiti di zon selatan yang melibatkan 41 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Lapan Politeknik, 20 Kolej Komuniti dan 15 Universiti Awam dengan jumlah keseluruhannya seramai 7,648 orang.

Penjarakkan sosial dan juga pemakaian topeng muka dipraktikkan dalam bas yang membawa pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Pelajar mendaftar diri untuk pulang di kaunter pendaftaran Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang disediakan.

Pelajar yang ingin pulang ke kampung menunggu bas yang telah ditetapkan.

Beberapa pelajar yang dijemput oleh ibubapa atau penjaga masing-masing dikehendaki menandatangani borang khas serah-terima pelajar dari UTM untuk dibawa pulang.