November 23, 2024

Search
Close this search box.

Usai penghantaran pelajar-pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memilih untuk pulang ke rumah masing-masing melalui program’ Bring Student Home’, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar UTM melalui Majlis Pengetua terus mengekalkan khidmat kepada pelajar yang masih berada di kampus, terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Berkurung (PKP).

Perkara ini dititikberatkan agar kebajikan pelajar terpelihara dan bagi menceriakan pelajar khususnya di kala musim perayaan yang masih hangat terasa.

Pengetua Kolej Datin Seri Endon, Prof. Madya Dr. Liza Md Salleh berkata pihak kolej telah mengaturkan pelbagai program bagi menceriakan pelajar semenjak PKP bermula pada akhir Mac yang lalu.

“Terdapat tiga program utama iaitu Pemantauan Pelajar, Pertandingan Video COVID-19 dan juga pertandingan video Bacaan Al-Quran.

Untuk program pemantauan pelajar, kami mengambil berat tentang keadaan pelajar dari semasa ke semasa dan segera mengambil tindakan sekiranya mahasiswa tersebut mengalami masalah kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, KDSE juga menganjurkan pertandingan video terbaik bagi Video COVID-19 yang memaparkan aktiviti seharian pelajar yang bermula seawal bangun untuk solat subuh sehinggalah kembali semula ke tempat tidurnya untuk berehat pada malam hari.

“Pertimbangan markah dititikberatkan kepada bagaimana seseorang pelajar itu mengolah kehidupannya dalam keadaan cuti PKP di dalam kampus yang sememangnya berbeza dengan orang awam di luar kampus,” katanya lagi.

Untuk pertandingan video bacaan Al-Quran pula skema pemarkahan yang diberikan mengikut ketepatan tajwid dan juga keindahan taranum yang diperdengarkan.

“Para pelajar juga dikehendaki untuk membentuk sukarelawan secara berkumpulan yang bertanggungjawap membantu mengedarkan makanan tiga kali sehari sepanjang tempoh PKP berlangsung kepada seluruh penghuni kolej.

“Untuk melaksanakan tugasan ini, ketua kumpulan sukarelawan perlu saling berbincang supaya setiap kumpulan dapat mengagihkan makanan secara efektif kepada setiap penghuni kolej,” katanya.

Secara relatifnya di samping membentuk satu kumpulan kerja yang berdisiplin dan berkemahiran tinggi, pandemik yang berlaku ini juga adalah satu rahmat tersembunyi dimana seluruh penghuni kolej mengenali dengan rapat antara satu sama yang lainnya.

Mengulas lanjut mengenai aktiviti peringkat kolej, Dr Liza berkata pihak kolej khasnya dan universiti amnya perlu mengekalkan keceriaan dan juga semangat belajar yang konsisten di kalangan mahasiswa yang sedikit sebanyak berasa tertekan kerana tidak sebebas seperti selalunya.

“Aktiviti ini berterusan sehingga kedatangan Ramadhan diikuti oleh Syawal dilakukan bagi mengisi masa lapang mahasiswa.

Di samping mengeratkan silaturrahim dan ukhwah sesama mereka, aktiviti anjuran kolej ini sedikit sebanyak dapat meringankan tekanan perasaan dalam mendepani norma baharu kehidupan ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 peringkat Kolej Datin Seri Endon (KDSE) yang berlangsung di Arked 13 kolej kediaman berkenaan.

Seramai 122 orang mahasiswa antarabangsa dan tempatan yang memilih untuk tidak pulang telah diraikan dalam majlis yang turut dihadiri adalah Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr Wahid Omar dan Pengetua KDSE, Prof. Madya Dr. Liza Md. Salleh.

Bagi mahasiswa tahun akhir kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sayem Rahman berkata tahun 2020 mencatat sejarah unik apabila beliau merayakan kedatangan lebaran tanpa keluarga di sisi.

Pertama kali menyambut hari lebaran tanpa keluarga tersayang pasti mengundang kesedihan tetapi itu tidak akan menjejaskan semangat juang untuk memburu kejayaan dalam pelajaran.

“Pandemik COVID-19 telah menyebabkan saya tidak dapat pulang pada tahun ini namun itu tidak menjadi masalah kerana ia memberikan saya lebih peluang dan ruang untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran saya.

“Selain peperiksaan akhir, saya juga bakal menjalani Latihan Industri (LI) di Subang Jaya sebelum menamatkan pengajian.

Jika pulang sudah tentulah akan hilang fokus terhadap pelajaran dan tidak akan berpeluang menjalani latihan praktikal yang telah pun ditetapkan,” katanya yang berasal dari Bangladesh itu.

Menurutnya lagi, walaupun berasa sedih kerana tidak dapat pulang tetapi kerinduan itu terubat apabila ‘keluarga kedua’ yang terdiri dari sahabat senegara dan juga mahasiswa lain yang juga memilih untuk tidak pulang ke kampung halaman masing-masing ada bersama-samanya dalam kampus.

“Mereka ini tidak pulang kerana mahu menumpukan perhatian terhadap pelajaran masing-masing sama seperti saya dan kehadiran mereka di sisi sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya pada keluarga,” katanya.

Seorang lagi mahasiswa, Asraful Syifaa’ Ahmad turut melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga di Perlis tahun ini.

“Tidak dinafikan perasaan sedih menusuk jiwa ketika mendengar laungan takbir raya selepas waktu subuh tetapi perasaan itu hilang sebaik sahaja saya menghadiri majlis ini dan berjumpa dengan ramai mahasiswa tempatan yang memilih untuk tidak pulang ke kampung halaman masing-masing kerana mahu memberikan tumpuan kepada pengajian.

“Di samping ditemani ramai kawan-kawan yang tidak pulang, saya juga tidak merasa bosan kerana masa terisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah lain yang dianjurkan pada peringkat kolej kediaman dan fakulti,” katanya.

Asraful yang kini melanjutkan pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Komputer itu kini menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Pasca-Siswazah (PGSS) di Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan di samping dilantik sebagai Penolong Felo di KDSE.

“Sebagai Presiden PGSS di peringkat sekolah dan fakulti, saya menguruskan segala permasalahan pelajar pasca-siswazah di samping membantu pengetua menguruskan segala permasalahan penghuni kolej kediaman KDSE ini.

Perkara ini menguatkan semangat saya agar turut bersama-sama rakan seperjuangan di sini dan membantu mereka sedaya boleh.

Kesibukan menguruskan kedua-dua perkara ini juga menyebabkan masa saya sentiasa terisi sekaligus menghilangkan rasa rindu tidak dapat pulang beraya bersama keluarga tersayang di kampung,” katanya.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (berdiri kiri) bersama Pengetua KDSE, Prof Madya Dr Liza Md Salleh ketika menerima kunjungan Naib Canselor itu di waktu pagi Hari Raya pertama di Arked 13, kampus Johor Bahru.
Mahasiswa tahun akhir kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dari Fakulti Komputeran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sayem Rahman yang berasal dari Bangladesh.
Penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Komputer, Asraful Syifaa’ Ahmad ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2020 peringkat KDSE. Sungguhpun tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Perlis menyatakan rasa seronoknya kerana masa yang sentiasa terisi oleh aktiviti fakulti dan kolej kediamannya.
Pengetuan KDSE, Prof Madya Dr Liza Md Salleh.
Dr Liza (dua kiri) menghulurkan bungkus makanan kepada Sayem Rahman sambil diperhatikan oleh Asraful Syifaa’ Ahmad (paling kanan) di Arked 13, Kolej Datin Seri Endon (KDSE) UTM Johor Bahru.

Explore More