Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu program pembangunan pelajar ‘Survival Alchemy’ pada 5 – 7 Mac 2020 lalu bertempat di Teluk Gorek, Mersing.

Program ini merupakan kesinambungan modul untuk pembangunan pelajar tahun pertama yang terdapat dalam kerangka MyRoadmap@FS.

Seramai 99 orang pelajar Tahun  Satu Sarjana Muda Sains (Kimia) (SSCA) dan Sarjana Muda Sains (Kimia Industri) (SSCC) telah menghadiri program ini dengan keterlibatan seramai 14 orang staf akademik dan 7 orang pembantu pelajar.

Matlamat program pembangunan pelajar tahun pertama dapat dicapai melalui pelaksanaan aktiviti berbentuk ikhtiar hidup di luar kampus. Selain dapat menerapkan pembelajaran ‘7 Habits’ (Program Tahun Pertama Semester I) secara amali, program ‘Survival Alchemy’ dapat menguji ketahanan fizikal dan mental pelajar serta menerapkan daya juang terutamanya dalam menghadapi situasi sukar. Dengan itu, pelajar dapat mempraktiskan pengetahuan dan kemahiran untuk ikhtiar pembelajaran dan kehidupan mereka semasa berada di universiti.

Program tahunan ini dirangka khas bagi memastikan pelajar dapat meningkatkan karakter diri sekaligus mempraktiskan pelbagai pengetahuan dan kemahiran untuk survival pembelajaran dan kehidupan mereka bagi menempuhi tahun-tahun pembelajaran di universiti.

Selain itu, sifat keyakinan, ketahanan dan daya juang pelajar turut diterapkan menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun. Program ini juga bertujuan menguji amalan ‘7 habits’ pelajar yang telah mereka pelajari semasa mengikuti modul MyRoadmap pada semester lepas.

Kesimpulannya, program pembangunan pelajar MyRoadmap@FS berpotensi besar dalam membangunkan pelajar universiti yang holistik dan seimbang secara teratur dan berstruktur.

Bagi pelajar tahun pertama, pelaksanaan aktiviti seperti ini dapat membantu mereka dalam menyesuaikan diri dengan pembelajaran dan pengalaman baharu di universiti.

Disediakan oleh: Dr. Khairil Juhanni Abd Karim &  En. Hashim Baharin