April 26, 2024

Search
Close this search box.

Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari keluarga kurang berkemampuan (B40) bakal menerima bantuan pelan internet bagi tujuan meneruskan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PnP) secara dalam talian.

Bantuan ini diberikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan bermula 28 Mac lalu ekoran penularan wabak berbahaya yang diakibatkan oleh virus COVID-19.

Peruntukan yang diberikan adalah  pembekalan pakej internet kepada pelajar peringkat Sarjana Muda B40 secara ‘one-off’ (sekali beri) bagi tempoh 2 bulan sahaja.

Pengurus Kanan Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue) Mohd Fauzi Abd. Rahman berkata bantuan ini adalah selaras dengan Mesyuarat Senat Universiti pada 2 April 2020 yang mengambil keputusan untuk melaksanakan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara jarak jauh dan dalam talian.

“Sepertimana yang telah diputuskan oleh pengurusan universiti, perlaksanaan aktiviti PnP dalam talian ini bermula pada 1 April 2020 sehingga 26 Jun 2020 iaitu sehingga berakhirnya Semester II Sesi 2019/2020.

“Penggunaan pengajaran dan pembelajaran secara jarak jauh ini diutamakan untuk tujuan syarahan, tugasan, projek dan pembentangan, amali, servis pembelajaran serta pentaksiran termasuk peperiksaan akhir dan seumpamanya,” katanya.

Mengulas mengenai latar belakang bantuan ini, Mohd Fauzi berkata iLeaGue dan Pusat Kepimpinan Akademik (UTM Lead) telah membuat syor kepada pengurusan universiti berdasarkan dapatan kajian yang menunjukkan bilangan pelajar yang berstatus B40 pada Semester II Sesi 2019/2020 adalah seramai 8739 orang yang merangkumi pelajar diploma, pelajar prasiswazah dan pasca siswazah sepenuh masa.

“Daripada jumlah tersebut, kami dapati seramai 6952 orang adalah pelajar prasiswazah peringkat Sarjana Muda yang sangat kritikal untuk dipertimbangkan mendapat bantuan ini,” katanya lagi.

“Bantuan internet itu akan diuruskan oleh pihak UTM Digital, Bendahari dan UTM iLeaGue bagi memastikan pelajar mendapat bantuan dengan kadar segera bagi meneruskan sesi PnP mereka,” katanya.

“Seramai 6,952 orang mahasiswa yang layak menerima bantuan ini sedang melanjutkan pengajian di UTM pada Semester II Sesi 2019/2020 di UTM,” katanya lagi.

Mohd Fauzi berkata mana-mana pelajar yang berminat boleh memohon menggunakan Borang Digital Google yang disediakan oleh UTM iLeaGue sepertimana yang tertera pada hebahan melalui media sosial rasmi universiti.

“Bantuan Internet B40 UTM hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja dan hendaklah mengunakan kemudahan data internet tersebut untuk aktiviti PnP sahaja.

Bagi memohon bantuan ini, pemohon mestilah berstatus warganegara Malaysia dan menuntut secara sepenuh masa di peringkat Sarjana Muda dan berstatus aktif pada semester II sesi 2019/2020.

“Pelajar juga mestilah terdiri dari golongan B40 iaitu berasal dari keluarga berpendapatan RM4,000.00 ke bawah.

Oleh itu, pemohon haruslah mengemukakan bukti seperti slip pendapatan ibu bapa, salinan surat pengesahan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Surat Bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya lagi.

Sekiranya tidak mempunyai sebarang dokumen di atas, pemohon hendaklah mendapatkan pengesahan dari Tok Sidang/ Tok Empat/Ketua Kampung/Penghulu atau pegawai perkhidmatan awam dalam kumpulan Pengurusan dan Profesional.

“Pelajar boleh membuat permohonan sehingga 5 Jun 2020 dan sekiranya permohonan diluluskan, syarikat telco terpilih akan menghantarkan simkad yang mengandungi pelan data percuma terus kepada pelajar,” katanya.

Semoga bantuan pihak Universiti ini dapat meringankan bebanan kewangan pelajar semasa Convid 19 ini serta digunakan sebaik-baiknya oleh pelajar bagi mengikuti segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam talian.

Pelajar yang berminat boleh membuat permohonan di https://bit.ly/bantuaninternet

Sebarang pertanyaan boleh diajukan terus kepada En. Mohd Fauzi menerusi emel utmileague@utm.my

Explore More