Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

YB Shahar Sumbang Makanan Untuk Pelajar UTMKL

Kuala Lumpur, 29 April:- Pelajar Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur hari ini menikmati sumbangan makanan daripada YB Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Kewangan II yang disampaikan melalui Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau iaitu En. Ahmadul Mokhtar Bin Mohd Hayani.

Ketibaan beliau di Kolej Siswa Jaya disambut oleh Pro-Naib Canselor UTM (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin dan Pengetua Kolej Siswa Jaya, Prof. Madya Dr. Aminuddin bin Abu.

Kemudian, beliau dibawa ke Bilik Kebudayaan yang menjadi tempat pengumpulan makanan dan penyerahan makanan yang akan disampaikan kepada pelajar.

Sebelum itu, satu taklimat ringkas berkenaan perkembangan penempatan pelajar telah disampaikan oleh PM Dr. Aminuddin.

Tepat jam 6.00 petang En. Ahmadul mula menyampaikan makanan kepada pelajar yang telah bersedia beratur dengan mengamalkan penjarakan sosial.

Pihak urus setia juga dilihat bersedia dengan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan juga alat pantau suhu bagi menjamin keadaan pelajar sentiasa berada dalam keadaan baik.

Turut sama mengagihkan sumbangan ialah Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin.

En. Ahmadul mengedarkan makanan kepada pelajar
Sebahagian makanan yang disumbangkan
Prof. Dr. Shamsul turut mengagihkan makanan kepada pelajar

Untuk makluman, setakat hari ini masih terdapat kira-kira 287 orang pelajar yang berada di kolej yang juga dalam senarai pelajar yang akan pulang sempena program penghantaran pulang pelajar ke kediaman masing-masing oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Isnin lalu, terdapat 6 orang pelajar UTM yang terlibat dalam penghantaran pelajar dari Zon Tengah ke Zon Utara.

Menurut PM Dr. Aminuddin, dijangkakan lebih ramai pelajar yang akan pulang ke kediaman masing-masing pada 1 Mei ini yang melibatkan pelajar dari zon tengah pulang ke zon tengah.

Pihak Kolej akan terus berkerjasama dengan pihak berkuasa dan juga Pusat Kesihatan Universiti dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar dijamin sebelum membenarkan pelajar pulang, tambahnya lagi.

Untuk rekod, UTMKL telah menerima sumbangan makanan dari pelbagai pihak termasuk NGO dan ahli politik sepanjang tempoh Perintah Kawalan (PKP) dikuatkuasakan.

Ini menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan memandangkan mereka tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing sepanjang tempoh itu.

UTML mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Shahar Abdullah atas sumbangan makanan yang diberikan.

Explore More