Disember 22, 2024

Pandemik Covid-19 telah merubah kehidupan normal rakyat Malaysia kepada normal yang baharu.  Ia memberikan pelbagai cabaran kepada survival ekonomi rakyat Malaysia di pelbagai peringkat masyarakat.

Rakyat Malaysia terutama golongan B40 adalah golongan yang terkesan sekali disebabkan mereka tidak dapat bekerja susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kini, setelah enam minggu menjalani PKP, majikan sudah tentu tidak dapat membayar gaji atau akan membuat pemotongan gaji kepada staf mereka disebabkan tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Keadaan ini amat memberi kesan dari segi kewangan masyarakat di bawah golongan B40. Di UTM, kira-kira 60% pelajar adalah di bawah kategori  ini.

Melihat kepada cabaran yang dilalui pelajar, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyalurkan beberapa bentuk bantuan seperti Bantuan Plan Data Internet (RM50 sebulan untuk tempoh 3 bulan bermula April 2020) kepada 123 pelajar yang mempunyai pelan data internet terhad.

Manakala Bantuan Sara Hidup berjumlah RM150 sebulan telah diberikan untuk 14 pelajar B40 yang masih berada di dalam kampus UTM.

Melihat kepada usaha AHIBS yang sering turun padang memberikan pelbagai bentuk bantuan termasuk, makanan, data internet dan sara hidup kepada pelajar sepanjang PKP berlangsung, ramai penerima bantuan meluahkan rasa bersyukur di atas keperihatinan AHIBS dalam menyantuni pelajar yang sedang ditimpa kesusahan melalui fasa ini.

Norhalimah, pelajar jurusan pemasaran menyatakan rasa terima kasih dan bangga sebagai pelajar AHIBS.

Manakala, Mohd Amir dari jurusan perakaunan pula menghargai usaha AHIBS dalam memberikan pelbagai bantuan kepada pelajar yang memilih untuk berada di dalam kampus UTM sepanjang PKP.

Usaha ini didukung oleh barisan pentadbir fakulti, pensyarah dan staf sokongan yang terlibat dalam Taskforce Bantuan Covid 19. 

Pembahagian bantuan kewangan ini dibantu oleh Timbalan Dekan, Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Dr Noriza Mohd. Jamal, Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Suresh Ramakrishnan, Dr Nor Zafir Md Salleh, Dr Siti Zaleha Omain, Puan Nor Qamariah Othman, En. Azizol Md Amin, En Mohd Faizatulaszhar  Zainuddin, En. Norazrol Abd Rahman, Puan Isni Edayu Borhan, Puan Siti Raudha Ibrahim, Puan Nur Shuhada Safri, En. Mohd Fauzan Shahidan, En. Aminudden Janal dan Puan Azlina Gombak.

Ditulis oleh Dr. Nor Zafir Md Salleh dan Dr. Noriza Mohd Jamal

Explore More