November 22, 2024

Search
Close this search box.

Perkongsian Hasrat UTM Berhubung Pengumuman Aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran UTM Semester 2, Sesi 2019/2020 Semasa Krisis COVID-19

Perkongsian Hasrat UTM Berhubung Pengumuman Aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran UTM Semester 2, Sesi 2019/2020 Semasa Krisis COVID-19

Prof Ir Ts Dr Zainuddin Abdul Manan
Jabatan Timbalan Naib Canselor Akademik,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Ada kalanya Tuhan sembunyikan matahari. Dia datangkan badai dan taufan. Lalu kita menangis tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberi kita pelangi.”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera saya ucapkan kepada seluruh warga UTM yang berada di Malaysia dan di serata dunia. Semoga kita semua berada dalam keadaan sihat sejahtera sentiasa.

Selaku pegawai yang memikul amanah menerajui Jabatan Timbalan Naib Canselor akademik UTM, dan selaku salah seorang wakil kepada pengurusan UTM, izinkan saya, untuk berkongsi hasrat kami dari keputusan mesyuarat Senat UTM pada 2 April 2020, berkaitan Pengumuman Aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran atau “PnP” semasa krisis COVID19.

Keputusan Senat UTM 2 April 2020

Setelah mengambil kira maklumbalas pelajar, staf, ibu-bapa, kerajaan serta badan professional yang mewakili industri;

Senat UTM dalam mesyuaratnya pada 2 April 2020, telah memutuskan untuk mengekalkan tarikh permulaan aktiviti PnP UTM bagi semester ke-2, untuk bermula 1hb April 2020. Senat UTM juga telah bersetuju untuk UTM meneruskan aktiviti PnP secara jarak jauh dan dalam talian, selaras dengan keputusannya pada 25 Mac 2020.

Senat UTM juga telah mengarahkan supaya diberi tambahan tempoh selama 4 minggu dari tempoh lazim semester 2 untuk warga UTM melaksanakan aktiviti PnP sambil mengurus pelbagai cabaran semasa krisis COVID19. Dengan itu, tarikh permulaan semester ke 2 kekal pada 1 April 2020, dan akan berakhir pada 24 Julai 2020.

Untuk maklumat lanjut berkaitan pengurusan akademik termasuk kalendar semester 2 sesi 2019/2020, anda dijemput melayari laman web :

Teaching and Learning Activities for Semester II, 2019/2020

UTM Memilih Penyelesaian Yang Fleksibel dan Paling Kurang Berisiko Kepada Semua Pihak

1. Dalam memilih untuk melaksanakan kaedah PnP online dan jarak jauh serta memberi tambahan 4 minggu tempoh semester, UTM telah memilih penyelesaian yang fleksibel dan paling kurang berisiko bagi seluruh warga nya.

2. UTM yakin bahawa penggunaan kaedah dalam talian dan jarak jauh bermula 1 April sehingga hujung semester 2 akan dapat membantu seluruh warganya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan pada masa ini maupun akan datang. Dalam masa yang sama, kita akan dapat memastikan kesinambungan PnP dan mengelakkan ianya tergendala.

3. UTM juga percaya bahawa kaedah PnP online ini juga akan dapat menghapuskan ketidak pastian krisis COVID19 yang tiada siapa dapat memberi jaminan bila ianya akan berakhir.

4. Oleh itu, dalam membantu meringankan beban semua warga UTM untuk mula melaksanakan penyampaian PnP secara jarak jauh dan dalam talian, UTM telah menambah 4 minggu tempoh lanjutan dari semester lazim, tanpa menambah beban PnP. UTM percaya bahawa tempoh tambahan ini akan memberi fleksibiliti kepada pensyarah dan pelajar menyempurnakan PnP sambil menguruskan pelbagai cabaran bekerja dan belajar dalam keadaan krisis.

5. UTM juga bersetuju membenarkan aktiviti PnP bersemuka yang terhad dan terancang untuk dilaksanakan secara terkawal, bila keadaan kembali pulih dan krisis COVID19 telah berakhir.

UTM Memilih Penyelesaian Yang Inklusif Untuk Seluruh Warganya Tanpa Kecuali

Warga UTM yang di rahmati,

6. Dengan kita bermula seawal 1 April dan dengan 4 minggu tempoh tambahan PnP, kita percaya dengan izin Nya, kita ada satu penyelesaian yang inklusif kepada seluruh warga UTM.

7. UTM menyedari bahawa dalam kalangan staf dan pelajar, ada yang baru didedahkan kepada online learning dan perlukan masa untuk menyesuaikan diri.

8. UTM juga memahami ada dikalangan staf yang mengharungi hari-hari yang kian mencabar dalam bekerja di rumah sambil menguruskan anak-anak dan keluarga masing-masing, oleh itu memerlukan sedikit masa untuk buat persiapan kuliah, sambil belajar PnP secara online.

9. UTM juga amat menginsafi keadaan serba kekurangan sebahagian pelajar yang menghadapi masalah capaian internet, kekurangan kemudahan pembelajaran, malah yang berdepan dengan suasana belajar yang kurang selesa, selain yang belum mahir dalam PnP online.

10. Dalam pada itu, UTM juga merasa prihatin dengan rayuan para pelajar tahun akhir yang mahu bergraduan dan terus bekerja untuk menyara diri dan keluarga. Mereka ini tidak mahu ibu-bapa mereka terbeban dengan kos pengajian, oleh itu memohon untuk diteruskan kuliah secara online seberapa segera.

11. UTM juga sentiasa ingat dan bimbang terhadap keperluan ramai pelajar antarabangsa kita yang terpaksa pulang dan kini berada di negara masing-masing tanpa sebarang kepastian bila mereka akan dapat kembali ke Malaysia. Bagi pelajar antarabangsa kita yang diluar negara, meneruskan kuliah secara online saja lah satu-satunya cara bagi mereka meneruskan pengajian.

12. UTM lebih-lebih lagi amat menghargai “the silent majority” – iaitu pensyarah-pensyarah yang sejak dari awal telah berusaha gigih membuat segala persiapan PnP termasuk mengesan dan menyantuni setiap orang dari pelajar masing-masing.

Barisan Hadapan Akademik Yang Mencerminkan DNA UTM

13. Saya menganggap pensyarah-pensyarah kita ini bersama staf sokongan yang membantu mereka sebagai “barisan hadapan akademik UTM (atau UTM academic frontliners)” yang telah bertungkus lumus belajar kaedah PnP online, berusaha mencari segala penyelesaian, mengenepikan segala alasan dan menguruskan segala cabaran dalam usaha membantu mereka yang memerlukan dikalangan pelajar kita.

14. Pensyarah-pensyarah kita ini telah berusaha dengan penuh dedikasi mencari kaedah paling sesuai untuk pastikan tiada pelajar kita yang ketinggalan dalam pembelajaran.

15. Pensyarah-pensyarah kita ini adalah dalam kalangan majoriti staf UTM yang sentiasa bersedia untuk memulakan sesi pembelajaran dalam kadar segera kerana mereka sedar bahawa kita bakal menghadapi kesuntukan masa untuk menguruskan segala cabaran dalam menggunakan pelbagai kaedah PnP jarak jauh yang memerlukan lebih usaha dan masa persiapan.

16. Pensyarah-pensyarah dan staf sokongan kita ini adalah idola saya dan pelajar kerana mereka adalah umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain; mereka laksana pelangi di hujung badai yang sedang melanda. Mereka ini bagi saya adalah ikon guru sebagai pendidik (mudarris), penyampai yang benar (mualim), pengasuh dengan kasih sayang (murabbi), pembentuk adab dan akhlak (muaddib) dan pembimbing ke arah kebaikan (mursyid).

17. UTM menghargai kesediaan majoriti pensyarah dan pelajar yang bersedia untuk pembelajaran online dan jarak jauh, dan sedang berusaha sedaya upaya memberi segala sokongan dan bantuan kepada pensyarah dan pelajar yang kurang bersedia melaksanakan PnP secara online.

Bagaimana Kita Boleh Manfaatkan Fleksibiliti Yang UTM Berikan

18. Suka saya ingatkan bahawa permulaan kuliah seawal 1 April, dan 4 minggu tambahan yang UTM berikan, boleh kita gunakan dengan sebaiknya terutama untuk memastikan tiada seorang pun pelajar kita yang akan ketinggalan tidak kira di mana mereka berada di muka bumi ini.

19. Dengan bermula awal dan dengan mengambil manfaat dari masa tambahan yang di beri, anda boleh bermula secara “cold start” sekiranya pelajar anda, mahupun anda sendiri sebagai pensyarah, adalah “beginners” dalam PnP online.

20. Anda boleh mengambil masa sekadar yang perlu untuk menguruskan pelbagai cabaran yang di hadapi sepanjang semester.

21. Saya memohon supaya anda berhemah dalam menggunakan subsidi masa ini, kerana siapa tahu, anda mungkin juga memerlukan masa kecederaan (“injury time”) di penghujung semester untuk menguruskan sebarang kecemasan yang melibatkan pelajar, diri, dan keluarga anda.

Warga UTM yang saya hormati,

22. Mungkin ramai di kalangan kita yang terlepas pandang bahawa hanya dengan bermula awal, anda boleh memberi peluang kepada pelajar bergraduan awal supaya pelajar dapat memenuhi cita-cita, masa depan dan harapan keluarga mereka.

23. Begitu juga, hanya dengan bermula awal, anda akan mempunyai lebih masa untuk menumpukan perhatian kepada pelajar yang tiada kemudahan capaian internet dan perlu pulang semula ke UTM bila keadaan telah pulih seperti sediakala.

24. UTM telah merancang untuk membantu pelajar kita ini mengikuti kuliah ulangan, sama ada secara bersemuka mahupun secara online di UTM, dengan bantuan dan penyeliaan khas pensyarah mereka.

Ada Pelangi di Penghujung Badai, Dengan Izin Nya

Wahai sahabat-sahabat, tuan-tuan dan puan-puan, warga UTM yang saya hormati sekelian.

Akhir kata, Ingatlah bahawa,
Ada kalanya Tuhan sembunyikan matahari. Dia datangkan badai dan taufan. Lalu kita menangis tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberi kita pelangi.

Ayuh kita semua berganding bahu, merapatkan saf, mengorak langkah dan mengerah keringat serta segala kemampuan yang ada, untuk kita maju bersama mengharungi badai dan taufan demi memberikan masa depan yang cerah kepada para pelajar kita, semata-mata Kerana Tuhan, demi kesejahteraan masyarakat dan manusia sejagat.

Stay Safe, Stay Healthy and Stay Positive

Explore More