April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pergerakan Pertama Pulang Ke Rumah/Kampung Halaman Semasa Tempoh PKP Pelajar IPT

 

Hanya 20 orang pelajar sahaja yang dibenarkan menaiki bas bagi menjaga penjarakan sosial

Kuala Lumpur, 27 April:– Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang diumumkan pada 23 April 2020 menetapkan bahawa tempoh PKP akan disambung sehingga ke 12 Mei 2020 dengan beberapa kelonggaran.

Salah satunya ialah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah bersetuju untuk menghantar pelajar pulang ke rumah/kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula 27 April 2020 ini kecuali dari zon merah dan kuning.

Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Hari ini bermulanya penghantaran balik bagi pelajar Zon Tengah I ke Zon Utara.  UTM Kuala Lumpur telah menjadi salah satu hub pelepasan pelajar ke Utara dengan menyediakan tiga buah bas untuk tujuan ini.

Destinasi yang terlibat adalah Kuala Muda, Kota Setar dan Seberang Perai Tengah.

Seramai 39 orang pelajar yang terlibat dalam perjalanan ke tiga destinasi ini yang terdiri daripada pelajar UTM (6 orang), UIA (24 orang) dan UM (9 orang).

Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah merupakan prioriti utama ketika pergerakan pelajar berlangsung.

Setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi oleh seorang pegawai pengiring yang mempunyai senarai lengkap pelajar dan dua orang pemandu.

Kebajikan pelajar juga tidak diabaikan apabila mereka dibekalkan makanan dan minuman untuk bersahur.

Selain itu, saringan gejala akan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) yang terlibat sebelum pergerakan pelajar.

Sementara itu, pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga terlibat dalam membuat saringan air kencing kepada pemandu agar mereka berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan.

Proses saringan pelajar oleh kakitangan Pusat Kesihatan Universiti.

PDRM melakukan saringan air kencing kepada pemandu.

Bagi pelajar tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Proses Kimia, MJIIT, Husna Filzah bit Ismail, beliau bersyukur dapat pulang ke kampung dan berterima kasih kepada kerajaan dan juga pengurusan universiti terutamanya pihak kolej kerana sangat membantu pelajar sejak dari hari pertama pelaksanaan tempoh PKP sehingga penghantaran pulang pelajar.

Baginya staf universiti menjalankan tugas dengan baik dan efisien bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin sepanjang proses ini.

Bagi memastikan proses pergerakan pelajar berjalan dengan lancar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia memberikan sepenuh kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard atau Standard Operating Procedures (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penghantaran pulang pelajar di pusat UTM Kuala Lumpur malam ini turut mendapat perhatian Pro-Naib Canselor UTM (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin.

Beliau turut meluangkan masa untuk meninjau persiapan pihak yang terlibat iaitu Pusat Kesihatan Universiti UTMKL, Keselamatan, urus setia Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), pihak PDRM dan juga pelajar dalam memastikan segala arahan dan SOP dipatuhi.

Prof. Dr. Shamsul bersama kakitangan Pusat Kesihatan Universiti

Untuk makluman, penghantaran pulang pelajar pada malam ini melibatkan 790 orang pelajar dari 9 pusat pelepasan yang terdiri daripada IPT sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

9 pusat pelepasan tersebut ialah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Penghantaran juga melibatkan 50 buah bas yang turut disanitasi.

Keseluruhannya, proses penghantaran pulang pelajar kali ini berjalan lancar dengan semua pihak memberikan kerjasama yang amat baik.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar program ini berjalan lancar hingga tamat.

Explore More