April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Apr. — Sebuah protataip mesin bantuan pernafasan bergerak (transport ventilator machine) telah berjaya dibangunkan oleh sekumpulan ahli akademik dan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan (FE) dan Pusat Kecerdikan Buatan dan Robotik (CAIRO), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Prototaip yang dihasilkan dengan teknologi Cetakan Tiga Dimensi (3D Printer) dan penggerak pneumatic (Pneumatic Actuator) ini telah dibangunkan dengan kerjasama dari Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah koordinasi Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dato’ Prof Ir Dr Mohammed Rafiq Bin Abdul Kadir.

Ketua Projek Geran Penyelidikan Khas Sempena Krisis Covid-19, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi berkata objektif khusus dalam menghasilkan peranti perubatan jimat kos ini adalah bagi menampung sistem bantuan pernafasan pesakit COVID-19 sekiranya jangkitan yang berpunca dari Corona Virus ini mencapai tahap yang kritikal di Malaysia.

“Peralatan bantuan pernafasan, ventilator ialah salah satu daripada peranti perubatan yang penting untuk memberi bantuan pernafasan kepada pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), pembangunan model prototaip ini boleh digunakan bagi membantu pesakit yang tidak kritikal dan dalam penggunaan jangka masa pendek.

Model prototaip ventilator yang di bangunkan ini mempunyai fungsi yang terhad namun ia boleh mengawal Tidal Volume (Tv), Respirotry Rate (rr) dan Inpiratory:Expiratory (IE) Ratio bagi kegunaan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan”. kata beliau.

Menurut beliau, data dari KKM menunjukkan bilangan mesin bantuan pernafasan di hospital-hospital KKM kini adalah sebanyak 5,035 unit dengan penambahan pinjaman (loan) oleh pihak syarikat konsesi sebanyak 99 unit dan buat masa ini adalah mencukupi untuk menampung keperluan pesakit sedia ada.

Dr ‘Athif berkata usaha ini adalah sebagai persediaan untuk menghadapi situasi yang lebih kritikal di mana KKM perlu mencari kaedah alternatif bagi memenuhi keperluan peranti bantuan pernafasan sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan yang mendadak.

“Terdapat dua model yang telah dibangunkan iaitu model secara mengiring dan model secara menegak menggunakan model Ventalaid dari www.ventalaid.org.

Bahan yang digunakan untuk menghasilkan ventilator ini ialah bahan yang sedia ada dan boleh diperolehi daripada pasaran seperti Asid Polilaktik (PLA) dan Thermoplastic Polyurethane (TPU) untuk tujuan cetakan 3D.

Sementara itu, bahan-bahan yang boleh diperolehi dari industri pula adalah piston (pneumatic actuator), pembekal tenaga (power supply) dan juga sumber tenaga bagi menggerakkan piston (air Compressor),” katanya lagi.

KKM telah mula menjalin kerjasama dengan pihak UTM untuk menghasilkan mesin bantuan pernafasan dengan menggunakan teknologi cetakan 3D sekaligus membentuk pasukan Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan yang berpusat di National Institute of Health (NIH) dengan fokus utama adalah membangunkan protaip peranti mesin bantuan pernafasan menggunakan teknologi cetakan 3D.

Peranti ini juga perlu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (PBPP/MDA) dibawah Akta 737 dan kelulusan SIRIM sebelum ianya boleh dikeluarkan dalam kapasiti yang banyak untuk diedarkan ke hospital-hospital yang melaksanakan rawatan pesakit COVID-19.

Mesin ini telah dipertontonkan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam program Taklimat Media Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan yang berlangsung di KKM pada 13 April 2020 yang lepas.

Penyelidikan dan pembangunan alat ini dibantu staf dari Fakulti Kejuruteraan (Sekolah Kejuruteraan Elektrik, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan), Pusat Kecerdikan Buatan dan Robotik (CAIRO UTM), Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) dan beberapa Jurutera Industri yang terlibat secara sukarela terdiri daripada Dr. Fauzan Khairi Che Harun, Dr. Ahmad Zahran Mohd Khudzari, Dr. Mohd Najeb Jamaludin, Dr. Mohd Azlan Shuhaimi, Mohd Hazmil Syahidy Abdol Azis, Roslin Yasak, Roshamidi Ab. Hamid, Wong Liang Xuan, Tham Weng Kit, Hong Win Soon, Harith Md Nasir, Shaekh Mohammad Shithil, Ir. Mohd Sabri Mohamad Zin, Azalea Shezdiana Badrulshah, Mohd Shukri Mohd Aripin dan Abdul Hadi Abdul Halim.

Mesin bantuan pernafasan (ventilation machine) yang dibangunkan secara kerjasama oleh UTM-KKM
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi (kanan) bersama dengan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba sewaktu Taklimat Media Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan yang berlangsung di KKM pada 13 April 2020 yang lepas.
Pasukan UTM yang bertanggungjawap dalam membangunkan mesin bantuan pernafasan UTM-KKM. Dari kiri, Dr. Dr. Fauzan Khairi Che Harun, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dato’ Prof Ir Dr Mohammed Rafiq Abdul Kadir, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi dan Wong Liang Xuan sedang menyiapkan hasil ciptaan inovasi bagi dibentangkan dalam program Taklimat Media Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuruteraan Kesihatan yang berlangsung di KKM Putrajaya.

Explore More