April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Apr. 2020 – Seorang ahli akademik dan penyelidik dari Program Senibina, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan sebuah Kaunter Saringan Covid-19 yang mesra petugas.

Projek yang dinamakan Kubikel Saringan COVID-19 atau I3S ini telah dibangunkan oleh pensyarah kanan UTM, Azari Mat Yasir dengan kolaborasi bersama seorang doktor perubatan swasta, Dr Ahmed Kamarulzaman dari ‘Medical Mythbusters Malaysia’, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai oleh beberapa orang pegawai perubatan yang berdaftar.

Mengulas mengenai projeknya, Azari berkata konsep rekaan kaunter saringan ini adalah berasaskan kepada tiga elemen yang utama iaitu Pengasingan, Pemeriksaan dan Persampelan (‘Isolation, Examination and Sampling‘).

“Idea bagi membangunkan projek ini terhasil apabila Dr Ahmed Kamarulzaman melihat rakan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengalami kesukaran melaksanakan tugas mengambil sampel dari orang awam yang mahu menjalankan proses saringan Covid-19.

“Pemakaian sut khas Kelengkapan Pelindung Diri (PPE) yang diperbuat dari plastik dan dipakai menutupi seluruh tubuh telah menyebabkan para petugas ini merasa tidak selesa kerana berpeluh pada tubuh terutamanya ketika cuaca panas,” katanya.

Azari selanjutnya berkata matlamat utama projek ini ialah bagi menyediakan ruang kerja yang selamat dari jangkitan virus COVID-19 sekaligus mengurangkan kebergantungan petugas barisan hadapan ini terhadap sut khas PPE ketika melaksanakan proses saringan virus berbahaya ini.

“Selain bersifat melindungi, ruang kerja yang selesa dan nyaman juga berpotensi memanjangkan kemampuan para petugas untuk membuat saringan sekaligus bermakna lebih ramai lagi yang boleh diambil sampel untuk diuji.

Kaunter saringan 13S ini juga boleh mengurangkan jumlah petugas kesihatan dari tiga orang bagi setiap individu yang disaring kepada hanya seorang petugas sahaja,” katanya.

Menurut Azari lagi, sebanyak lapan buah prototaip kaunter saringan 13S telah dibangunkan dengan bantuan Dr Mohd Najeb Jamaludin, pensyarah kanan dari Sekolah Kejuruteraan Biomedikal dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan UTM serta beberapa orang petugas KKM.

“Prototaip Kubikel I3S Model Mark IX (Model kesembilan) telah pun berjaya dibangunkan sebagai prototaip terbaru projek ini yang dibina di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang menggunakan dana sumbangan orang ramai di bawah kelolaan Yayasan Muamalat Belia.

Ia telah mendapat perhatian ramai pihak termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi menterinya, YB Khairy Jamaluddin yang telah mengambil inisiatif menubuhkan satu kumpulan kerja yang membantu menyediakan dana bagi menyokong pemajuan projek ini,” katanya lagi.

Kubikel I3S Mark IX ini juga telah ditambah baik ke Mark X (ke-10) dan juga Mark XIV (model ke-14) yang membolehkan lebih ramai petugas dapat dimuatkan untuk bertugas pada satu-satu masa.

“Bagi menjamin pemilikan paten hakmilik yang sah, saya telah pun membuat permohonan untuk memfailkan pemilikan paten oleh UTM menerusi Pusat Inovasi dan Komersialisasi (ICCUTM),” tegasnya lagi.

Sekitar awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, Dr Ahmed Kamarulzaman dari pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia (M3) telah menghasilkan beberapa lakaran idea dan berkongsi di akaun Facebooknya.

“Lakaran ideanya telah menarik minat saya dan untuk merealisasikan pemikiran itu, saya pun menawarkan diri untuk bekerjasama dengan beliau.

“Harapan kami tidak lain iaitu mengharapkan agar rekaan ini dapat membantu hospital dan pusat-pusat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara dalam usaha mengesan dan menangani wabak berbahaya ini,” katanya.

Prototaip Kubikel Saringan COVID-19 atau I3S yang dibangunkan oleh pensyarah kanan UTM, Azari Mat Yasir dengan kolaborasi bersama seorang doktor perubatan swasta, Dr Ahmed Kamarulzaman di HTAA, Kuantan, Pahang (pandangan hadapan)
Kubikel Saringan COVID-19 (pandangan dari sisi kanan)
Kubikel Saringan COVID-19 (pandangan dari dalam kubikel). Dua buah lubang pada cermin hadapan akan digunakan oleh petugas untuk mengambil sampel dari orang awam. Ini bagi membolehkan petugas KKM menjalankan tanggungjawap mereka tanpa mengorbankan keselamatan diri mereka terhadap jangkitan virus COVID-19.

Pandangan dari dalam yang menunjukkan petugas KKM mengambil sampel dari seorang wanita yang menyertai proses saringan COVID-19.

Explore More