Pandemik COVID-19 telah banyak mengubah lanskap kehidupan manusia pada hari ini. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, setiap individu yang tidak mempunyai peranan khusus dalam perkhidmatan utama perlu berada di rumah masing-masing, kurangkan pergerakan dan kurangkan bersentuhan (kontak). Walaupun kita merasakan kesan negatifnya seperti dari segi pergerakan, bersosialisasi, berkerja dan sebagainya, namun sisi positif PKP ini mula dilihat selepas dua minggu.

Antara contoh adalah pencemaran berkurangan kerana kurangnya aktiviti pembakaran petrol dari kenderaan, dan kurangnya sampah serta sisa minyak mengalir masuk ke dalam sungai. Dalam aspek pendidikan, sekolah dan institut pendidikan tinggi (IPT) turut mengubah kaedah pelaksanaan pendidikan kepada atas talian sepenuhnya. Pembelajaran atas talian ini sebenarnya mampu menghasilkan seseorang yang mempunyai kemahiran pembelajaran sepanjang hayat (Life Long Learning).

Kemahiran pembelajaran sepanjang hayat ini adalah salah satu kemahiran utama dalam Kemahiran Abad Ke-21 yang perlu dikuasai oleh setiap individu untuk berjaya dalam abad yang mencabar ini. Kemahiran ini memerlukan seseorang yang mampu menentukan apa yang perlu dipelajari, mencari maklumat atau bahan untuk dipelajari, mempunyai kemahiran pembelajaran kendiri dan berdikari, bermotivasi, serta boleh membuat refleksi terhadap pembelajarannya dengan melakukan pentaksiran kendiri atau cara yang lain.

Secara konvensionalnya, dalam menghafaz al-Quran, seseorang yang boleh menghafal secara kendiri dan berdikari boleh menentukan sasaran hafazannya, mencari kaedah terbaik untuk menghafal dan mengulang (contoh menggunakan perakam suara), dan menentukan kelemahan hafazan sendiri melalui muhasabah diri (refleksi).

Dalam konteks pendidikan, teori pembelajaran konstruktivisme adalah sangat bertepatan untuk menjelaskan pembelajaran sepanjang hayat ini. Menurut teori ini, ilmu adalah dibina oleh pelajar di atas ilmu sedia adanya dengan melalui pengalaman pembelajaran tertentu. Pemilikan pembelajaran adalah pada pelajar di mana pelajar perlu mengambil peranan sebagai seseorang yang menentukan apa yang ingin dipelajari dan bagaimana. Justeru itu, apabila pelajar telah menentukan apa yang ingin dipelajari, motivasi untuk menekuni isi kandungannya datang secara intrinsik daripada pelajar. Itulah pembelajaran sepanjang hayat yang perlu diterapkan dalam diri pelajar supaya mereka menjadi seseorang penuntut yang berdikari dan kendiri sepanjang masa.

Dalam PKP ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) semasa PKP bermula 1 April 2020 yang merangkumi pembelajaran secara atas talian menggunakan Google Classroom supaya pelajar tidak ketinggalan dalam pendidikan. Beberapa buah universiti turut memulakan kuliah dan pembelajaran secara atas talian. Contohnya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pembelajaran secara atas talian telah bermula 1 April 2020 supaya pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran khususnya pelajar yang perlu bergraduan.

Pelaksanaan pembelajaran atas talian ini memerlukan pelajar membina kemahiran pembelajaran sepanjang hayat. Pelajar tidak boleh lagi menggunakan set pemikiran dahulu iaitu menunggu cikgu atau pensyarah untuk bercakap atau berkuliah baharu mula belajar. Pelajar perlu menentukan apakah yang perlu dipelajari, mencari bahan yang telah guru atau pensyarah letak di platform pembelajaran maya seperti Google Classroom dan e-learning universiti, kemudian menyusun masa sendiri untuk meneliti bahan tersebut kemudian menyelesaikannya. Pelajar perlu belajar menyusun masa dan keutamaan, bahan mana yang perlu dipelajari dan diselesaikan terlebih dahulu, yang mana kemudian.

Bagi pelajar sekolah, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak-anak untuk mendapatkan kemahiran ini dengan menunjukkan contoh susunan jadual yang bersesuaian dengan mata pelajaran tertentu, kemudian memberikan pilihan kepada anak untuk mengubahsuai jadual tersebut. Ibu bapa pada mulanya perlu membimbing anak menyusun tugasan yang diberikan oleh guru untuk diselesaikan dan hantar kepada cikgu secara maya. Guru perlu memberi maklum balas kepada hasil kerja pelajar supaya mereka terus bermotivasi untuk menyelesaikan tugasan seterusnya. Pelajar juga sekali sekala diberikan peluang untuk berkomunikasi dengan rakan sekelas untuk membincangkan tugasan dan pembelajaran. Lama kelamaan, pelajar boleh lebih berdikari untuk meneruskan pembelajaran atas talian ini.

Bagi pelajar universiti, inilah masanya untuk mengasah kemahiran pembelajaran sepanjang hayat supaya mereka bersedia untuk alam pekerjaan. Pelajar perlu menyusun jadual pembelajaran sendiri, mencari bahan pembelajaran selain yang diberikan oleh pensyarah, menyusun waktu perbincangan bagi tugasan berkumpulan, menentukan tarikh tutup pecahan kerja-kerja tugasan kumpulan supaya boleh dilengkapkan sebelum tarikh tutup tugasan, serta membuat pelbagai keputusan yang memerlukan kemahiran penyelesaian masalah seperti masalah internet yang tidak stabil atau lemah, kawan kumpulan tugasan yang tidak ada akses internet, laptop dan speaker bermasalah, dan sebagainya.

Apabila dilakukan pembelajaran secara atas talian, pelajar tidak lagi boleh bergantung kepada pensyarah semata-mata sebagai sumber ilmu. Pelajar perlu membuka minda untuk meneliti bahan pembelajaran lain di atas talian, bukan nota dan kuliah pensyarah semata-mata. Pencarian bahan pembelajaran yang sahih dan betul juga merupakan salah satu kemahiran pembelajaran sepanjang hayat yang perlu dibina. Ini boleh termasuk nota atau buku elektronik dari universiti terkemuka, video dan platform pembelajaran terbuka seperti Massive Open Online Courses (MOOC) yang percuma.

Sememangnya bukan senang untuk membina kemahiran pembelajaran sepanjang hayat ini. Namun dengan COVID-19 dan PKP ini, kita diberi peluang untuk mengasah kemahiran ini yang amat penting untuk kekal bermandiri pada abad ini. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Sekiranya kita ingin memperoleh kemahiran pembelajaran sepanjang hayat dan kemahiran abad ke-21 yang lain seperti kemahiran penyelesaian masalah dan membuat keputusan, bekerjasama dalam satu pasukan, menguruskan emosi, literasi ICT dan sebagainya, usaha untuk belajar perlu dilaburkan. Maka, terpulanglah kepada ibu bapa dan pelajar untuk menentukan. Inilah masanya untuk berubah.

Disediakan Oleh :

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang

Pengerusi, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,

Universiti Teknologi Malaysia

Felo, Pusat Pendidikan Kejuruteraan, UTM